STL 2019: Johor Tigris mahu perkemas rentak
JOHOR Tigris mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Sepak Takraw (STL) apabila menumpaskan Terengganu Turtles, Sabah Mountaineers dan Kuala Lumpur Thunder pada saingan minggu ketiga di Stadium Persatuan Bola Keranjang (MABA), Kuala Lumpur.
Ketua Jurulatih Johor Tigris, Ahmad Jais Baharun cukup gembira dengan persembahan yang ditunjukkan barisan pemainnya, namun mengharapkan mereka tidak berasa selesa kerana perjalanan liga masih jauh.
Malah, beliau mahu anak-anak buahnya memperkemaskan rentak permainan selain cuba mengelak kesilapan mudah dalam usaha mempertahankan kedudukan dalam saingan STL.
“Buat masa ini, kita masih fokus kepada prestasi pemain-pemain dengan berusaha untuk memperkemaskan corak permainan. Dari segi kedudukan liga, kita akan cuba mempertahankannya dengan sehabis baik. Kita juga perlu ingat pasukan lain juga akan berusaha untuk mencabar kedudukan tersebut.
“Kami juga tidak mahu terlalu yakin kerana kami masih merasakan bahawa Johor Tigris pasukan underdog dan banyak kelemahan yang perlu kami perbaiki,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Dalam pada itu, beliau juga sedang menilai taktikal ampuh bagi mengharungi perlawanan pada minggu keempat apabila dijadualkan bertemu ATM Guardians dan Negeri Sembilan Antlers.
“Menjelang perlawanan seterusnya, kami perlu memperbaiki beberapa elemen seperti hadangan dan tidak melakukan kesilapan kecil yang akan mengundang padah kepada pasukan.
“Kita tahu ATM dan Negeri Sembilan merupakan pasukan yang cukup konsisten dan kita akan berusaha untuk memberikan tentangan sengit dalam kedua-dua perlawanan itu, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu liga,” katanya.
Saingan minggu keempat STL akan berlangsung di Spice Arena, Pulau Pinang pada 27 sehingga 29 September ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!