Tanggungjawab wanita lerai pergaduhan
PADA 10 Ogos lalu, masyarakat dikejutkan dengan penularan video yang memaparkan insiden pergaduhan dua lelaki di Kilometer 293.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah Kuala Lumpur-Seremban.
Perselisihan faham melibatkan Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 28, dan Yew Wei Liang, 41, itu dikatakan berpunca daripada kemalangan kecil yang berlaku selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan.
Difahamkan, kenderaan Syed Muhammad Danial sebelum itu terlanggar bahagian belakang kereta Wei Liang lalu menyebabkan berlakunya kejar mengejar antara mereka.
Susulan pertelagahan itu, Syed Muhammad Danial maut dilanggar tertuduh yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh sehingga kes selesai.
Namun begitu, belum pun reda mengenai insiden berkenaan dalam tempoh kurang dua bulan kita ‘dihidangkan’ lagi video pergaduhan dua pemandu berdurasi seminit setengah.
Plot penceritaan hampir serupa yang mana telah berlakunya insiden provokasi di jalan raya lalu mencetuskan pergaduhan antara Ng Whye Hoong, 38, dan Mohamad Fazrien Mohd Zier, 30.
Kesannya, Whye Hoong yang memandu kereta jenis Mazda CX5 cedera pada bahagian lutut dan muka, manakala pemandu van Toyota Hiace itu pula mengalami kecederaan pada kepala, tangan dan kaki.
Susulan insiden pergaduhan itu kedua-dua lelaki terbabit mengaku bersalah bergaduh di tempat awam. Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda maksimum RM1,000.
Bagaimanapun, yang menarik perhatian dalam kes berkenaan adalah tindakan Majistret Noorasyikin Sahat memberi nasihat dan teguran berkait rapat institusi kekeluargaan.
Noorasyikin menasihatkan Whye Hoong yang seharusnya berfikiran lebih matang selari dengan usia.
Selain itu, beliau juga menasihatkan pasangan kepada Mohamad Fazrien. Sebagai seorang isteri adalah lebih wajar membantu memulihkan keadaan berbanding merekod video. “Isteri yang baik tidak akan biar suaminya bergaduh,” tegur Noorasyikin.
Persoalannya, apakah yang harus wanita lakukan sekiranya suami, abang ataupun adik lelaki terlibat dalam insiden pergaduhan di tempat awam? Pakar Sosial, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, golongan wanita seharusnya memainkan peranan memastikan keadaan reda dengan baik.“Wanita perlu bijak bermain psikologi dan menjadi orang tengah untuk memujuk kerana kelazimannya dalam situasi berkenaan emosi kaum Adam menjadi tegang dan kurang stabil.
“Jika tiada peluntur yang baik tidak mustahil daripada masalah kecil boleh bertukar pada keadaan membawa ke arah kematian dan kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, sekiranya usaha para wanita gagal untuk menenangkan pasangan maka segeralah bertindak mendapatkan bantuan daripada individu yang berada di lokasi kejadian atau menghubungi pihak berkuasa.
“Bergaduh di jalan raya bukan sahaja mencalarkan imej seseorang, bahkan memberi impak negatif kepada anak-anak yang melihat,” tegasnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula berkata, wanita harus bersikap rasional dan berusaha menenteramkan keadaan.
“Tindakan merekod video pergelutan adalah disarankan termasuk mencatatkan butiran penting seperti masa, gambar individu, nombor pendaftaran dan jenis kenderaan terlibat sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, sikap samseng di jalan raya harus ditangani segera dalam apa cara sekalipun.“Sudah tiba masanya satu polisi jalan raya yang tidak dipolitikkan digubal dan ditambah baik," katanya.
Apa yang pasti, pergaduhan di tempat awam khususnya di jalan raya adalah amalan tidak sihat.
Sikap negatif itu bukan sahaja mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya, malah mewujudkan provokasi yang boleh mendorong tindak balas negatif daripada pemandu lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!