Kanak-kanak dua tahun maut ditinggal dalam kereta panas
ALBUQUERQUE - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dilaporkan meninggal dunia akibat ditinggalkan dalam kereta oleh seorang penjaga budak.
Menurut polis, Zariah Hasheme maut selepas Tammie Brooks, 41, meninggalkannya dalam kereta yang panas untuk sekurang-kurangnya tujuh jam pada 17 September lalu di Albuquerque, New Mexico.
Brooks dikatakan terlupa untuk menghantar Zariah ke pusat jagaan, sebaliknya mangsa dibiarkan dalam kereta apabila dia pergi bekerja pada jam 6.30 pagi (waktu tempatan).
Difahamkan, Brooks hanya menyedari perkara itu ketika mahu menjalankan satu urusan.
Polis kemudian dihubungi dan Zariah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Brooks yang dikenakan tuduhan pengabaian kanak-kanak hingga menyebabkan kematian dibenar ikat jamin AS$50,000 (RM208,726) ketika kes dikemukakan di mahkamah Isnin lalu dan perbicaraan awal dijadualkan pada 23 Oktober.
Ditanya berhubung ikat jamin terhadap Brooks, ibu mangsa, Demi Petrowski berkata, ia tindakan yang tidak adil.
"Dia telah membunuh anak saya," kata Petrowski yang mengalami enam keguguran sebelum melahirkan Zariah.
Di sebalik kehilangan yang amat memedihkan, Petrowski dan pasangannya, Zachary Hasheme kini menggunakan kematian Zariah untuk mengingatkan orang ramai tentang bahaya meninggalkan kanak-kanak dalam kenderaan panas. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!