Ajar subjek ‘netizen bertanggungjawab’ di universiti
MERAK Jalanan terbaca satu berita yang melaporkan Jabatan Pengajian Tinggi menggugurkan 38 program akademik di 19 universiti awam kerana tidak relevan dengan keperluan semasa industri.
Menurut laporan itu, keputusan tersebut dibuat kerana bidang pengajian pada peringkat sarjana dan sarjana muda tidak menjanjikan peluang pekerjaan terbaik kepada graduan sejajar permintaan semasa industri.
Pada pandangan Merak Jalanan, ia keputusan yang tepat seiring dengan perkembangan semasa yang begitu cepat berubah.
Jika universiti masih menawarkan program yang tidak relevan maka ia akan menganiaya penuntut itu sendiri.
Menghabiskan wang ringgit, tenaga dan masa bertahun-tahun di universiti tetapi apabila sudah tamat pengajian tercengang-cengang dan terlopong apabila menempatkan diri di industri.
Program yang dipelajari di universiti rupa-rupanya teknologinya 10 tahun ke belakang, tidak relevan dan sudah boleh ditempatkan di dalam muzium.
Maka apabila pihak universiti yang terdiri daripada ahli akademik hendak merangka program yang ingin ditawarkan di universiti, undang bersama golongan industri supaya program yang ditawarkan itu benar-benar relevan.
Jangan lupa selitkan juga dalam silibus, subjek bagaimana untuk menjadi internet citizen (netizen) yang bertanggungjawab waima ketika sedang menuntut dan sudah menjadi siswazah.
Ini kerana terdapat kalangan anak muda walaupun mempunyai berpendidikan tinggi tetapi sebagai netizen, tingkah laku mereka amat mengecewakan.
Ajarkan mereka supaya menjadi netizen yang bertanggungjawab ketika memuat naik status gambar dan video.
Berhemah dalam memberi komen di media sosial dan paling penting menjaga tatasusila dari segi hubungan kaum, agama serta menghormati institusi raja.
Ia secara tidak langsung dapat melahirkan graduan yang bersedia dari pelbagai sudut untuk menempuh alam pekerjaan akhir zaman!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!