JBPM mahukan keadilan untuk Adib
MELAKA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mahukan keadilan untuk anggotanya Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim terlaksana walau apa juga kaedah yang diambil pihak berkuasa dalam menentukan punca kematiannya.
Ketua Pengarah JPBM, Datuk Muhamad Hamdan Wahid berkata, jabatan itu juga tidak mahu ada halangan dalam usahanya memperjuangkan keadilan untuk Muhammad Adib.
“Kita tunggu inkues, macam mana perjalanannya kerana telah ditetapkan (kes Muhammad Adib) dibuat sebagai inkues. Kita berdoa keadilan dapat dicapai untuk Muhammad Adib,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau melawat dua anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu yang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka selepas mengalami kecederaan ketika operasi memadamkan kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Cheng, semalam.
Muhammad Adib, 24, meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara, selepas kira-kira tiga minggu bertarung nyawa susulan kecederaan parah yang dialami dipercayai akibat diserang dan dipukul kumpulan perusuh dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor pada penghujung bulan lepas.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dilaporkan berkata, inkues akan diadakan bagi mengenal pasti punca kematian Muhammad Adib selepas Peguam Negara Tommy Thomas mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk polis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!