Speaker Dewan Perwakilan AS umum siasatan terhadap Trump

Pelosi (kiri) dakwa Trump melakukan pengkhianatan terhadap sumpah jawatan, keselamatan negara dan integriti pilihan raya.
Pelosi (kiri) dakwa Trump melakukan pengkhianatan terhadap sumpah jawatan, keselamatan negara dan integriti pilihan raya.
A
A
A

WASHINGTON - Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi semalam mengumumkan siasatan rasmi terhadap Presiden Donald Trump yang didakwa melanggar Perlembagaan kerana meminta bantuan Ukraine untuk menentang lawannya dari Parti Demokrat, Joe Biden dalam Pilihan Raya Presiden 2020.

"Perbuatan Trump menunjukkan pengkhianatan beliau terhadap sumpah jawatan (presiden), keselamatan negara dan integriti pilihan raya kita," tegasnya.

Pelosi membuat pengumuman itu selepas mesyuarat bersama anggota Demokrat berhubung perkara itu walaupun terdapat kebimbangan dalam kalangan kepimpinan parti terbabit bahawa langkah itu mungkin akan menjejaskan peluang mereka dalam Pilihan Raya 2020.

Keputusan untuk melancarkan siasatan rasmi itu dibuat susulan pendedahan laporan yang mendakwa Trump cuba memberi tekanan terhadap Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky untuk membuka siasatan rasuah terhadap pencabar utamanya bagi merebut jawatan di Rumah Putih, Biden dan anak lelakinya, Hunter ketika menghubungi pemimpin itu pada 25 Julai lalu.

Rumah Putih bagaimanapun tidak mendedahkan butiran aduan rahsia yang dikemukakan kepada Kongres tentang 'bantuan' yang diminta jutawan hartanah tersebut untuk menentang Biden yang kini menjadi calon utama Demokrat.

Sementara itu, Trump mengaku ada bercakap tentang Biden ketika menghubungi Zelensky dan beliau turut membekukan bantuan dana kepada Ukraine. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!