'Media berbohong tentang kebakaran hutan Amazon'

Asap tebal memenuhi ruang udara di Altamira, Para di Lembangan Amazon pada akhir bulan lalu. - Foto: AFP
Asap tebal memenuhi ruang udara di Altamira, Para di Lembangan Amazon pada akhir bulan lalu. - Foto: AFP
A
A
A

BRASILIA - Presiden Brazil, Jair Bolsonaro semalam mendakwa media berbohong tentang kebakaran yang menyebabkan kemusnahan besar terhadap hutan hujan Amazon.

Beliau membuat kenyataan itu ketika Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York seminggu selepas Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia menerusi laporan mereka menuduh Bolsonaro memberi lampu hijau kepada pembalak haram selain gagal melindungi hutan hujan terbesar di dunia itu.

"Amazon tidak musnah atau terbakar. Media menipu. Banyak pihak juga salah apabila menganggap bahawa Amazon adalah warisan manusia selain tanggapan salah saintis yang mendakwa hutan Amazon sebagai 'paru-paru' dunia," katanya.

Menurutnya, laporan sensasi yang dibuat media antarabangsa telah membangkitkan sentimen patriotik di Brazil.

"Mereka bertindak secara tidak sopan dengan semangat penjajah. Salah sebuah negara ketika Sidang Kemuncak G7 baru-baru ini sewenang-wenangnya mencadangkan sekatan ke atas Brazil tanpa berunding dengan kami atau mendengar penjelasan kami," katanya dengan jelas merujuk kepada Perancis.

Difahamkan, Perancis dan Ireland mengancam untuk menyekat perjanjian perdagangan antara Kesatuan Eropah (EU) dan negara Amerika Selatan termasuk Brazil kerana dasar alam sekitar Bolsonaro. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!