Bajet 2020: Pergetah harap bantuan musim tengkujuh diteruskan

Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) diperkenalkan kerajaan memberi manfaat kepada lebih 274, 639 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di seluruh negara. - Foto Bernama
Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) diperkenalkan kerajaan memberi manfaat kepada lebih 274, 639 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di seluruh negara. - Foto Bernama
A
A
A

BALING - Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah) berharap Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah dapat diteruskan dalam Bajet 2020 yang akan dibentangkan kerajaan bulan depan.

Pengerusinya, Mohd Taufik Yaacob berkata, bantuan itu yang telah diperkenalkan sebelum ini dilihat dapat membantu meringankan beban golongan itu terutama bagi menyara keluarga ketika musim tengkujuh pada bulan November, Disember dan Januari.

“Jika dihitung, pekebun kecil hanya boleh menoreh empat ke lima bulan dalam setahun sahaja, malah dalam tempoh sebulan hanya 10 hari mereka boleh keluar menoreh disebabkan hujan, jadi bantuan ini wajar diteruskan kerana mereka tiada sumber pendapatan lain jika tidak menoreh,” katanya.

Beliau berkata, kepada pemberita pada program dialog bersama pekebun dan penoreh getah Daerah Baling sempena Karnival Rahmah Kedah Peringkat Daerah Baling di sini.

Mohd Taufik yang juga Penyelaras Parlimen Baling berkata, bantuan itu turut membantu pekebun kecil yang terkesan secara langsung dengan kemerosotan harga komoditi itu di peringkat global.

BMT diperkenalkan kerajaan memberi manfaat kepada lebih 274, 639 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di seluruh negara dan di Kedah sahaja, terdapat 45,297 orang yang layak menerimanya.

Gambar hiasan - Foto internet
Gambar hiasan - Foto internet

Menerusi bantuan itu, pekebun kecil getah menerima bantuan sebanyak RM600 yang dibayar dua peringkat iaitu pada akhir tahun berjumlah RM300 dan baki RM300 disalur pada awal tahun.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Taufik berkata, Karnival Rahmah Kedah yang diadakan selama 10 hari bermula 21 September lalu memberi peluang kepada pekebun kecil untuk mendaftar kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) bagi membolehkan mereka membuat tuntutan skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Katanya, sehingga kini lebih 50 peratus pekebun kecil getah di negeri ini belum membuat tuntutan tersebut dan berharap mereka dapat mengambil peluang itu sebelum akhir tahun ini.

“Selain itu, RISDA Baling juga telah membuka kaunter pendaftaran kad PAT-G serta urusan lain berkaitan pekebun kecil getah daerah itu sebagai kemudahan kepada pekebun kecil di Baling dan tidak perlu ke pejabat Lembaga Getah Malaysia di Sungai Petani untuk berurusan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!