Tujuh individu cabar larangan merokok

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tujuh individu hari ini memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan yang menguatkuasakan larangan merokok di semua premis makan bermula esok, 1 Januari 2019.

Kesemua tujuh pemohon itu memfailkan permohonan mereka secara ex-parte (sebelah pihak) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui pemfailan e-filing, menerusi Tetuan Haniff Khatri.

Mereka adalah Mohd. Hanizam Yunus, 52, Zulkifli Mohamad, 56, Mohd Laisani Dollah, 46, Mohd. Sufian Awaludin, 35, Ridzuan Muhammad Noor, 52, Mohd Yazid Mohd Yunus, 48, dan Yuri Azhar Abdollah, 39.

Dalam permohonan itu, kesemua pemohon yang bertindak mewakili diri sendiri dan perokok yang menyokong usaha Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok, menamakan Kementerian Kesihatan Malaysia selaku responden.

Dalam permohonan itu, pemohon menyatakan bahawa larangan merokok itu bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukan aktiviti jenayah sehubungan itu, aktiviti terbabit sah daripada segi undang-undang yang dijamin perlembagaan.

Menurut mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makan.

Katanya, rakyat Malaysia yang merokok secara konstruktifnya diketepikan dan didiskriminasikan daripada mengunjungi serta menikmati kemudahan di premis makan kerana ada larangan merokok, ia bertentangan dengan peruntukan dan prinsip undang-undang dan salah prosedur kerana responden tidak pernah berjumpa perokok atau pihak berkepentingan bagi membincangkan penguatkuasaan larangan.

Selain itu kata mereka, kerajaan juga tidak memperuntukkan kemudahan kawasan merokok yang terasing atau memberi peruntukan untuk pengusaha premis makan melaksanakan budi bicara masing-masing untuk mengadakan kawasan merokok asing.

Artikel Berkaitan:

Oleh yang demikian, mereka memohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan kementerian dan memohon perisytiharan bahawa keputusan peguatkuasaan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perintah larangan bagi menghalang responden sama ada melalui dirinya sendiri atau ejen atau wakil daripada menguatkuasakan larangan berkenaan.

Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan merokok di semua restoran dan premis makan berkuat kuasa 1 Jan 2019 melibatkan semua premis makanan seperti restoran tertutup, berhawa dingin dan warung konsep terbuka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!