Pasangan pensyarah didakwa salah guna kuasa
JOHOR BAHRU - Pasangan suami isteri yang juga pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tiga pertuduhan salah guna kuasa dan bersubahat menerima suapan antara Mac 2017 hingga Ogos tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Zul Azmi Ishak, 43, dan isterinya, Mazlyda Abd Rahman, 41, mohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, Mazlyda didakwa menggunakan jawatannya sebagai Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik untuk mendapatkan suapan apabila mencadangkan lantikan syarikat milik adik iparnya, Mohamad Zunaidi.
Syarikat Orkid Jingga dilantik bagi membekalkan dan menghantar set medal, set medal tambahan serta kit cenderahati juga piala bagi Pertandingan International Invention, Innovation dan Design pada tahun 2017 dan 2018 dengan harga kerja berjumlah RM18,813.
Mengikut fakta kes, pada 7 Mac 2017, Mazlyda didakwa mencadang lantikan syarikat adik iparnya untuk membekalkan set medal dengan harga kerja RM9,000 kemudian pada 24 Mei 2017 pensyarah yang telah berkhidmat 13 tahun itu mencadang lantikan sama untuk membekalkan set medal tambahan dengan harga kerja RM6,063.
Pada 30 Ogos 2018, Mazlyda sekali lagi didakwa mencadang lantikan syarikat sama untuk melaksanakan kerja membekal serta menghantar kit cenderahati dan piala bagi pertandingan sama bagi tahun 2018 dengan harga kerja RM3,750.
Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi.
Sementara itu, Mohd Zul Azmi didakwa bersubahat dengan isterinya itu dalam melakukan semua perbuatan terbabit di universiti dan tarikh yang sama.
Bagi semua pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 23(1) serta Seksyen 24(1) akta sama dengan peruntukan hukuman yang sama jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Nor Syarina Raizan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Hakim sebelumnya menetapkan jaminan RM10,000 untuk setiap pertuduhan bagi setiap tertuduh namun Mohd Zul Azmi merayu agar diturunkan jumlah jaminan kerana mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah selain memberi kerjasama dengan menghadirkan diri ke SPRM semasa siasatan.
Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 dan seorang penjamin bagi setiap seorang serta 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!