Kurikulum Pengajian Media dan Komunikasi IPT perlu dinilai semula
SUBANG JAYA - Kurikulum Pengajian Media dan Komunikasi di institusi pengajian tinggi (IPT) negara perlu dinilai semula bagi memastikan ia seiring dengan perkembangan industri media semasa.
Tokoh Wartawan Negara 2018, Tan Sri Johan Jaafar berkata, ini kerana, realiti industri media pada hari ini amat berbeza jika dibandingkan dengan tempoh 10 atau 20 tahun lalu.
"Saya percaya, tiada pengajian yang tidak relevan termasuk pengajian media dan komunikasi ini.
"Tetapi kita melihat terdapat keperluan untuk sukatan pelajaran atau kurikulum media yang diajar di universiti dilihat semula secara menyeluruh," katanya pada sidang akhbar selepas Ucaptama Forum Media Kebangsaan Industri 4.0: Kewartawanan Merentasi Pelbagai Platform di Taylor's University di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada Pengajian Media dan Komunikasi sedia ada masih relevan untuk diajar di IPT negara.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya dan Ketua Pengajian Media dan Komunikasi Taylor's University, Dr Latiffah Pawanteh.
Sementara itu, Johan turut menegaskan bahawa industri media juga perlu 'muhasabah diri' bagi menghadapi cabaran pada ketika ini dan akan datang.
Beliau berkata, banyak pihak mengatakan media arus perdana termasuk akhbar dan televisyen tidak dapat bertahan untuk jangka masa yang lebih lama.
"Kita sendiri melihat bagaimana jualan akhbar menurun sejak 10 tahun lalu dan ini sangat membimbangkan.
"Selain itu, wujudnya cabaran duopoli dalam industri ini di mana sebahagian besar daripada peluang untuk media konvensional terutamanya dari segi iklan telah diambil alih oleh syarikat gergasi seperti Google, Facebook dan sebagainya," katanya.
Katanya, sebahagian besar pendapatan iklan-iklan ini berpindah ke syarikat besar terbabit dan ini merupakan satu cabaran besar yang perlu dihadapi.
Johan berkata, amat penting juga untuk syarikat media menyusun semula strategi mereka pada masa depan kerana model perniagaan sedia ada mungkin tidak boleh bertahan lagi.
"Sistem atau cara kita buat perniagaan pada hari ini sudah tidak praktikal lagi sebab persaingan dari segi media sosial sangat kuat.
"Organisasi berita juga tiada lagi hak eksklusif kerana sesiapa saja boleh jadi pemberita atau wartawan.
"Sesiapa yang dapat maklumat boleh muatnaik dan tularkan di platform media sosial," katanya menyifatkan itu sebagai cabaran baharu dihadapi syarikat media tradisional hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!