KPDNHEP Pahang pastikan tiada peniaga ambil kesempatan
KUANTAN - Tiada sebarang penyelewengan harga ke atas pembekalan dan penjualan topeng muka dan mulut di negeri ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Tuan Mohd Sufian Mohd Abass berkata, ia hasil pemeriksaan yang dijalankan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan ke atas fenomena jerebu untuk memanipulasi harga barangan terkawal tersebut.
Menurutnya, hasil pemeriksaan juga mendapati bekalan topeng muka dan mulut di pasaran mencukupi.
"Sehingga hari ini, Pejabat KPDNHEP Pahang melalui lima cawangan telah memeriksa 153 premis perniagaan melibatkan farmasi, runcit dan borong seluruh negeri ini dengan melibatkan 80 pegawai penguat kuasa.
"Hasil pemeriksaan mendapati peniaga mematuhi harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan tiada sebarang tindakan diambil," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Mohd Sufian berkata, terdapat lima jenis topeng muka yang dikawal harga secara perundangan oleh KPDNHEP iaitu empat topeng muka jenis pembedahan dan pembedahan satu lapisan (gelung telinga), dua lapisan (gelung telinga), tiga lapisan (gelung telinga/gelung kepala), tiga lapisan (ikatan pada kepala) dan N95.
"Bagi topeng muka satu lapisan, harga borong dan runcit sekotak adalah RM5 dan RM7; dua lapisan (RM8 dan RM20 atau 20 sen seunit) dan tiga lapisan (gelung telinga/gelung kepala) harga borong dan runcit RM25 sekotak dan 80 sen seunit.
"Manakala bagi topeng muka tiga lapisan (ikatan pada kepala) membabitkan harga borong dan runcit RM30 sekotak dan 80 sen seunit serta topeng muka N95 membabitkan harga borong dan runcit RM100 sekotak dan RM6 seunit," katanya.
Dalam pada itu, Tuan Mohd Sufian meminta agar orang ramai membuat laporan sekiranya terdapat peniaga yang menaikkan harga atau mengambil kesempatan menyorok bekalan topeng muka bagi tujuan untuk manipulasi harga.
Katanya, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"Sebarang maklumat atau aduan boleh disalurkan melalui saluran Talian Bebas Tol 1-800-886-800, aduan melalui aplikasi WhatsApp (019-279 4317) atau aduan secara atas talian http://eaduan.kpdnhep.gov.my," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!