Tragedi berdarah awal pagi
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut selepas kereta dinaikinya terbabas dalam satu kemalangan di Kilometer 96.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, pagi tadi.
Mangsa, Jonny Gunasegaran, 36, beralamat dari Pulau Pinang yang merupakan penumpang di belakang pemandu disahkan maut di tempat kejadian.
Sementara pemandu kereta tersebut, lelaki berusia 44 cedera parah termasuk seorang wanita warga Thailand yang berusia 30 tahun, manakala adik lelaki pemandu berusia 41 tahun hanya cedera ringan.
Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II Isyadi Dani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.12 pagi tadi.
"Terdapat seorang mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan hospital manakala tiga mangsa yang lain mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital berhampiran.
"Tiada mangsa yang tersepit dan operasi tamat jam 7.50 pagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi melibatkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam dengan sebuah jentera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!