Pertukaran Rafizi, Nurul Izzah bukan dirancang

Johari (tengah, depan) pada sidang media.
Johari (tengah, depan) pada sidang media.
A
A
A

ALOR SETAR - Pelantikan Rafizi Ramli menggantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden PKR bukan dirancang lebih awal, sebaliknya proses itu berlaku secara spontan.

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, proses pertukaran itu tiada dalam perancangan mana-mana pihak kerana ia hanya dibincangkan selepas selesai pemilihan parti.

Menurutnya, antara faktor utama Nurul Izzah melepaskan jawatan dalam parti adalah kerana beliau dibebani kerja susulan menganggotai pelbagai jawatankuasa serta memikul tugas penting lain.

“Pelantikan itu tidak dirancang awal, Nurul Izzah terlalu banyak bebanan kerja lain antaranya mempengerusikan jawatankuasa di parlimen, ahli PAC, selain Ahli Parlimen, menyebabkan beliau lepaskan jawatan dan beri peluang kepada individu lain,” katanya pada sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, hari ini.

Johari berkata, pada masa sama, Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memandang sepi sumbangan Rafizi terhadap pembangunan parti, terutama sebelum PRU14.

“Beliau kalah pemilihan namun jasanya banyak dalam parti. Walaupun tahu beliau bukan calon PRU14, namun tetap turun padang berkempen untuk PH, selain kewujudan Invoke yang beri sumbangan luar biasa kepada kemenangan parti,” katanya.

Menurutnya, keberanian Rafizi membongkar skandal pemimpin BN juga wajar dihargai sehingga menyebabkan beliau kini berdepan beberapa pertuduhan di mahkamah.

“Pelantikan Rafizi adalah wajar biarpun dia antara yang kalah pemilihan. Bukan beliau sahaja dihargai Presiden, yang lain termasuk Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai Ketua Penerangan, Datuk Dr R Santhara Kumar (Timbalan Setiausaha Agung),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Johari berkata, barisan kepemimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dilantik sememangnya layak berdasarkan merit selain berpengalaman.

“Jika ada dakwa wujud sogokan politik, saya tak setuju. Presiden hanya mahu wujudkan parti yang mantap dengan gabungan pemimpin terbaik, sama ada menang pemilihan atau sebaliknya kerana masing-masing ada pengikutnya,” katanya.

Menurutnya, Anwar bersikap terbuka dan inklusif dalam pemilihan MPP kerana nama-nama yang dicadangkan dalam mesyuarat MPP pada 28 Disember lalu perlu mendapat sokongan penuh ahlinya.

“Ada nama yang beliau cadangkan, tetapi majlis tolak nama tersebut dan Anwar akur dengan penolakan itu. Walaupun beliau ada kuasa mutlak melantik, namun memilih untuk berunding dengan pimpinan,” katanya.

Johari berkata, teguran terbuka Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung ketidakpuasan hati berhubung lantikan MPP tidak perlu lagi diperbesarkan.

“Semuanya akan selesai dan kembali bersatu, kami dalam keluarga besar dan berkali-kali bertembung dengan persaingan sengit, namun akhirnya tetap bersatu. Kemungkinan ketika pengumuman MPP, beliau tidak mendapat maklumat sebenar tentang proses pemilihan MPP kerana berada di luar negara,

“Cukuplah berbalah pendapat, rakyat sedang melihat apa yang kita akan lakukan selaku kerajaan. Rakyat jemu dengan pemimpin yang tidak putus-putus bercakap tentang politik dan merebut habuan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!