Nestle lancar kilang Milo terbesar dunia di Rembau
NESTLE Malaysia hari ini melancarkan kilang pembuatan Milo dan Pusat Kecemerlangan Global terbesar di dunia di Kilang Milo Chembong di sini.
Kilang yang beroperasi sejak tahun 1993 itu dibesarkan lagi keluasan tapaknya bagi meningkatkan kapasiti sebanyak 30 peratus dalam memenuhi permintaan domestik yang semakin bertambah selain untuk dieskport ke lebih 20 negara.
Ketua Pengarah Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, pembesaran itu melibatkan naik taraf kemudahan pembuatan dengan peralatan pengeluaran lengkap yang moden bagi mengoptimumkan kapasiti dan keberkesanan bertujuan meningkatkan produktiviti serta daya saing.
"Kami percaya terdapat peluang ekonomi yang luas di Malaysia, disebabkan itu kami melabur secara berterusan untuk mengembangkan perniagaan selama lebih 100 tahun di negara ini.
"Pelaburan bernilai RM90 juta untuk membangunkan kilang di Chembong terbesar di dunia selari dengan komitmen kami untuk terus meningkatkan operasi pembuatan dan menghasilkan produk Halal buatan Malaysia yang berkhasiat serta berkualiti tinggi untuk semua rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kilang Milo terbesar di dunia oleh Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun di Chembong, Rembau di sini hari ini.
Menurutnya, Malaysia adalah pasaran utama bagi Nestle di seluruh dunia dan hub pembuatan utama di rantau Asia.
"Kompleks kilang ini mempunyai tenaga kerja Nestle yang paling ramai antara enam kilang yang ada di Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!