Pelantikan MPN PKR Kedah diumum
ALOR SETAR - Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah dibarisi pemimpin berpengalaman dan baharu bagi mengukuhkan peranan parti itu di negeri ini.
Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul ketika mengumumkan barisan baharu MPN sesi 2018-2021 percaya gabungan pemimpin kali ini lebih seimbang selain memberi lebih peranan kepada ketua cabang.
“Antara perubahan adalah semua ketua cabang diberikan peranan sama ada dalam MPN atau mengetuai 10 biro yang diwujudkan. Kita turut melantik dua orang penasihat, iaitu Speaker Dun Kedah, Datuk Ahmad Kasim dan Dr Azman Ismail.
"Fokus utama untuk 2019 adalah untuk memenuhi agenda dan lapan hala tuju parti yang digariskan,” katanya.
Menurutnya, Che Md Dzaher Ahmad dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MPN, manakala Naib Pengerusi dibarisi, Nasrul Omar Che Mansor; Simon Ooi Tze Min dan Dr R Summugam.
“Kita fokus untuk jadikan parti terus bergerak maju, berdisiplin dan aktif dalam kegiatan masyarakat. Kami juga akan peka dengan janji-janji manifesto PH dan akan memantau supaya semua janji dilaksanakan,” katanya.
Johari berkata, PKR akan memperkukuhkan PH supaya menjadi sebuah kerajaan yang kuat dan dihormati selain sarankan beberapa idea untuk bangunkan Kedah antaranya, kekal sebagai negeri pertanian moden dan membuka ruang kepada meningkatkan aktiviti pelancongan dalam dan luar negara.
"Kita juga mahu memastikan semua potensi dan sumber ekonomi Kedah dibangunkan semaksimum dengan mengekalkan keaslian tanpa jejaskan alam sekitar.
“Kita juga mahu sumber manusia digembleng sepenuhnya hinggakan rakyat beroleh maklumat dan tahu hala tuju kerajaan negeri supaya dapat terlibat sama dalam pembangunan negeri,” katanya.
Menurutnya, parti itu akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk pemimpin pembangkang bagi membangunkan negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!