Treler muatan cecair mudah bakar terbalik
BAGAN SERAI - Tiga keluarga diarah pindah selepas sebuah treler membawa muatan lebih 25,000 liter cecair mudah bakar terbalik dalam sebuah tali air di Kampung Parit Mentara 3 di sini pagi tadi.
Kejadian sekitar jam 5 pagi itu berlaku ketika kenderaan dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Pulau Pinang tersalah laluan akibat menggunakan aplikasi mudah alih untuk navigasi jalan.
Tiba di lokasi kejadian, treler jenis Hino membawa muatan cecair kimia jenis Acetone Thinner dengan kapasiti 25,500 liter terbabit terbabas sendiri dan masuk ke dalam parit di sebelah kanan jalan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, siasatan mendapati berlaku kebocoran dari tangki menyebabkan cecair mengalir keluar dan masuk ke tali air.
"Daripada tugasan penilaian kita didapati bahan ini boleh menyebabkan kebakaran dan sekiranya ia memasuki kawasan-kawasan terkurung, akan mengakibatkan orang di sekeliling mengalami kesukaran bernafas.
"Atas faktor itu rumah-rumah berhampiran dalam jarak 100 meter telah dikosongkan bagi memastikan keselamatan terjamin," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian hari ini.
Menurutnya, tindakan awal telah diambil JBPM dengan melakukan proses penyejukan di kawasan sekeliling untuk mengurangkan risiko berlakunya kebakaran.
Katanya, pihak syarikat pula telah dihubungi untuk melakukan kerja-kerja pemindahan cecair dengan segera yang mungkin bagi mengelak kesan lebih buruk.
"Proses pemindahan ini bergantung kepada berapa lama syarikat itu boleh sampai memandangkan laluan yang sempit ini menyukarkan kenderaan besar untuk masuk.
"Apa pun kita nasihatkan penduduk agar tidak terlalu panik dan memberikan kerjasama dengan mengawal pergerakan dan tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh cetuskan kebakaran," katanya.
Operasi menyelamat disertai hampir 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Taiping dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) sebaik panggilan kecemasan diterima pada jam 9.58 pagi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, operasi turut disertai Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Penghuni rumah di sekitar tempat kemalangan telah dipindahkan dengan bantuan JKM sementara JPS telah dimaklumkan untuk penutupan sementara saluran air," katanya.
Menurutnya, kemalangan menyebabkan treler itu rosak teruk di bahagian belakang bagaimanapun pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibawa ke balai untuk diambil keterangan.
"Tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
Seorang penduduk, Zalina Masni, 37, berkata, dia dan keluarga akur berpindah dan akan tinggal sementara di rumah saudara mara berhampiran memandangkan bahaya yang berlaku akibat kejadian itu.
"Masa kejadian, saya ada di rumah dan tersedar dari tidur bila terdengar bunyi kuat seakan benda berat jatuh.
"Pada mulanya kami sangka ia kemalangan biasa, tak sangka jadi serius seperti ini. Oleh kerana bahan kimia itu boleh memudaratkan dan bahaya kepada kesihatan, lebih baiklah kami berpindah sementara," katanya.
Setakat ini, tiga keluarga terdiri daripada tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun telah berpindah keluar dari kediaman masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!