Kos operasi bank meningkat kerana garis panduan baharu BNM

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan institusi perbankan mengenakan caj perkhidmatan transaksi RM2 di kaunter dan 50 sen di mesin deposit tunai (CDM) dipercayai bagi menampung kos operasi bank yang meningkat selepas Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan pelbagai garis panduan baharu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, garis panduan yang ketat menyebabkan margin keuntungan institusi perbankan semakin menipis berbanding sebelum ini.

Menurutnya, pihak bank terpaksa mewujudkan jabatan baharu dengan penambahan pegawai semata-mata bagi memantau pematuhan garis panduan tersebut.

“Pada hari ini banyak institusi bank mengeluh kerana margin keuntungan dan kos operasi mereka tidak seperti dahulu.

“Dalam keadaan terikat dengan pelbagai garis panduan, dengan sendirinya menaikkan kos operasi dan kos itu kini dipindahkan kepada pelanggan. BNM yang sebenarnya menekan.

“Saya minta Kementerian Kewangan campur tangan kerana adalah tidak wajar mengenakan caj tambahan dalam keadaan rakyat yang sedia terbeban dengan pelbagai isu kos sara hidup,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, BNM perlu melihat secara menyeluruh bagi mengimbangi antara garis panduan baharu dan kos operasi agar institusi perbankan terus bersifat kompetitif dan berdaya saing.

Menurutnya, pihak bank tidak sepatutnya membebani pelanggan dengan mengenakan caj sedemikian kerana produk seperti pembiayaan dan pinjaman tersedia mempunyai caj perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

“Caj perkhidmatan sudah dimasukkan dalam pengiraan pembayaran balik dan sebelum ini, kita tak pernah dengar pun ada caj untuk transaksi di kaunter atau CDM.

“Saya rasa ada banyak faktor dan salah satunya mungkin disebabkan kos operasi bank meningkat berikutan pelbagai garis panduan baharu diperkenalkan BNM,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!