Sindiket African Scam tipu pegawai bank lebih RM12,000
KEPALA BATAS - Seorang wanita yang bekerja sebagai pegawai bank kerugian wang sebanyak RM12,850 selepas ditipu sindiket African Scam dalam kejadian di sini, baru-baru ini, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor hari ini.
Menurutnya, mangsa berusia 31 tahun itu terjerat dalam sindiket berkenaan selepas berkenalan dengan individu yang mendakwa dirinya seorang juruterbang warga Malaysia yang bekerja di Poland, menerusi laman sosial Facebook sejak awal bulan ini.
"Wanita itu kemudiannya bertukar nombor telefon dengan lelaki tersebut sebelum dia menerima mesej di aplikasi WhatsApp daripada suspek yang mendakwa ada menghantar hadiah berharga melalui perkhidmatan kurier sebagai tanda persahabatan," katanya di sini.
Katanya, selang sehari kemudian, mangsa telah dihubungi oleh ejen kurier yang memberitahu bahawa barangan yang dihantar lelaki mendakwa sebagai juruterbang itu telah sampai dan wanita itu diminta membuat pembayaran bagi kos pengangkutan dan bayaran lain-lain bagi tujuan penghantaran bungkusan tersebut.
Noorzainy berkata, mangsa yang teruja untuk mendapatkan hadiah tersebut telah melakukan beberapa transaksi pindahan wang dalam tempoh lima hari ke dalam akaun yang diberikan suspek sehingga keseluruhannya berjumlah RM12,850.
Katanya, wanita itu hanya menyedari dia telah ditipu selepas gagal menghubungi lelaki yang kononnya juruterbang berkenaan sebelum bertindak membuat laporan polis semalam.
Beliau berkata siasatan lanjut termasuk mengesan pemilik akaun yang digunakan sindiket itu giat dijalankan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!