Bapa Adib terharu sokongan rakyat Malaysia
KUALA KEDAH - Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang terkorban selepas rusuhan di Kuil Seri Maha Mariaman USJ 25 pada 27 November tahun lalu terharu dengan sokongan moral rakyat Malaysia yang ditunjukkan kepada mereka sehingga hari ini.
Bapanya, Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, berkata, beliau sekeluarga sangat menghargai sokongan tersebut dan mengharapkan doa seluruh rakyat di negara ini agar keadilan buat anak ketiganya itu dapat ditegakkan.
Menurutnya, sejak beberapa hari lalu tidur mereka tidak lena kerana memikirkan keputusan inkues yang akan diumumkan lusa, namun sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.
"Kami sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong kami. Kami rasa sangat terharu dengan sokongan anda semua, terima kasih.
"27 September ini sampai masanya keputusan inkues, kami berharap keputusan itu biarlah adil," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tebengau dekat sini.
Mohd Kassim berkata, beliau begitu menghargai usaha pelbagai pihak termasuk bomba dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan solat hajat untuk keputusan kes Muhammad Adib di seluruh negara,.
"Memang saya dimaklumkan tentang usaha itu, malah turut mendapat jemputan untuk sama-sama menghadiri di beberapa tempat di ibu negara tapi saya tak berkesempatan hadir dan mewakilkan kepada ahli keluarga lain yang tinggal di sana.
"Saya akan turut ke ibu negara pada Jumaat ini bersama isteri, namun perlu menyelesaikan beberapa hal di sini terlebih dahulu. Kami juga akan mengadakan solat hajat dan bacaan surah Yasin di rumah kami dan juga di Masjid As Saadah Kampung Tebengau pada esok," katanya.
Prosiding inkuiri kes kematian Muhammad Adib di hadapan Koroner, Rofiah Mohamad bermula pada 11 Februari lalu mengambil masa sehingga 41 hari bagi menentukan punca kematian Pegawai Bomba (PB) tersebut.
Seramai 30 saksi dipanggil memberi keterangan dan 137 eksibit dikemukakan kepada mahkamah dan pada 21 Ogos lalu.
Mahkamah Koroner menetapkan 27 September sebagai tarikh keputusan prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib selepas meneliti semua keterangan yang diambil daripada saksi sebelum ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Perbicaraan inkuiri kes Muhammad Adib ditutup
Inkues Adib: Tutup prosiding bukanlah terkubur tanpa keputusan
Bapa rayu keadilan buat Muhammad Adib
Bapa Adib dapat kebenaran 'heret' Tommy ke mahkamah
Inkues Adib: Ummah anjur solat hajat esok
Inkues Adib: Bomba buat solat hajat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!