Menanti ucapan ikonik Dr Mahathir di PBB
SELEPAS setahun menggegarkan pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan ucapannya yang penuh lantang dan tegas, figura Malaysia yang penuh wibawa kembali ke New York, Amerika Syarikat (AS) sejak semalam.
Kehadiran Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Perhimpunan Agung PBB (UNGA) kali ke-74 menarik perhatian ramai, baik yang mengaguminya atau tidak menyukainya kerana kelantangan beliau mengkritik kuasa besar dunia.
Tahun lalu, kembali buat pertama kali ke pentas PBB selepas 22 tahun meninggalkan jawatan Perdana Menteri, ucapan ikonik Dr Mahathir mengenai isu sejagat mendapat sokongan banyak delegasi.
Kali terakhir Dr Mahathir berucap di pentas PBB adalah pada tahun 2003.
Kali ini, telah beberapa kali Dr Mahathir menegaskan peperangan adalah satu jenayah dan peperangan bermakna membunuh manusia.
Mesej Dr Mahathir jelas ditujukan kepada kuasa-kuasa besar dunia yang membuli negara kecil sehingga terpaksa melutut di kaki negara besar.
Tidak terkecuali, Dr Mahathir membelasah Israel dan rakan-rakan sekutunya terutama AS yang terus menjarah tanah Palestin.
Dr Mahathir tanpa berselindung dan lantang membidas kekejaman Israel yang membunuh rakyat Palestin dan kebiadaban dunia yang membisu.
Lantaran itu, tidak hairanlah semalam sebaik sampai di New York, ketibaannya disambut dengan tempelak pelobi-pelobi Yahudi yang mempertikaikan tindakan Universiti Columbia menjemput Dr Mahathir ke satu acara di universiti itu.
Kongres Yahudi Dunia sekali lagi mengulangi gelaran yang sejak puluhan tahun lalu diberikan kepada Dr Mahathir iaitu anti-Yahudi.
Namun, gelaran dan kecaman seperti itu ternyata sudah pun kalis buat Dr Mahathir.
Ia tidak sedikit pun membuat beliau gentar untuk terus memperkatakan mengenai kekejaman dunia ke atas Palestin, PBB yang tidak demokratik kerana digerakkan kuasa veto dunia dan nasib malang Rohingya di Myanmar yang hidup tanpa negara.
Padat dengan beberapa acara di New York, namun ucapan Dr Mahathir mewakili Malaysia pada Debat Umum UNGA yang dijadualkan pada Jumaat pasti menjadi perhatian dunia.
Adakah mesej kemakmuran bersama yang dibawa Dr Mahathir di Malaysia disuburkan di pentas PBB?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!