Kenangan Adib kepada kami tidak pernah padam: Bapa

Mohd Kassim menziarahi pusara anaknya, Allahyarham Muhammad Adib di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah selepas solat Asar semalam.
Mohd Kassim menziarahi pusara anaknya, Allahyarham Muhammad Adib di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah selepas solat Asar semalam.
A
A
A

KUALA KEDAH - Hampir setahun anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia, namun kenangan dan ingatan beliau oleh keluarganya tidak pernah padam, malah doa sentiasa dititipkan oleh kedua ibu-bapanya supaya Allahyarham tenang di sana.

Bapanya, Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, berkata, beliau dan isteri, Asma Aziz, 51, setiap hari mengunjungi pusara anak ketiganya itu di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As Saadah, Kampung Tebengau, dekat sini untuk melepaskan kerinduan.

"Selepas solat Subuh di Masjid As-Saadah, mereka berdua akan mengunjungi pusara Allahyarham untuk membaca doa dan menyedekahkan surah al-Fatihah.

"Jika sehari tidak ke kuburnya kami rasa tidak lapang sebab sentiasa teringat arwah, namun selepas mengunjungi dan menatap kuburnya, kami rasa lega dan lapang," katanya.

Menurutnya, semasa mengerjakan ibadah haji baru-baru ini beliau bersama isteri berdoa bersungguh-sungguh supaya dipermudahkan segala-galanya dan dilapangkan dada mereka untuk menerima segala ketentuan.

"Syukur Alhamdulilah, sekembali dari tanah suci, hati kami lebih tenang dan tidak lagi rasa 'berat' seperti sebelum ini.

"Saya dan isteri tetap mengunjungi kubur arwah jika berkelapangan untuk melepaskan rasa rindu walaupun tidak pergi setiap hari seperti sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, beliau mengakui kehilangan Allahyarham Muhammad Adib satu tamparan cukup besar buat mereka sekeluarga dan sebak apabila mengenang ataupun bercerita tentang anaknya itu.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

"Sungguh, kehilangannya cukup berat buat kami. Saya kadang-kadang mahu mengelak untuk bercerita tentang arwah Adib apabila mahu ditemu bual oleh wartawan sebab saya akan sebak.

"Tapi saya syukur kerana ramai yang memberikan sokongan kepada kami. Malah ada yang kami tidak kenal sanggup datang dari seluruh negara untuk berjumpa menyampaikan ucapan takziah dan menziarahi kubur arwah Adib sehingga hari ini," katanya.

Mohd Kassim berharap keputusan prosiding inkues pada Jumaat ini mampu memberikan keadilan kepada arwah anaknya selepas 30 saksi dipanggil memberi keterangan dan 137 eksibit dikemukakan kepada mahkamah yang mana prosiding bermula pada 11 Februari lalu.

"Keputusan inkues ini bukan sahaja dinanti-nantikan oleh keluarga kami tetapi juga seluruh rakyat di negara ini dalam usaha mencari keadilan buat arwah," katanya lagi.

Allahyarham Muhammad terkorban selepas rusuhan di Kuil Seri Maha Mariaman USJ 25 pada 27 November tahun lalu dan prosiding inkues dilakukan dalam mencari punca kematian anggota bomba tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!