KLPB dekati masyarakat menerusi Karnival Usahawan Seribu Seri
BANTING - Karnival Usahawan Seribu Seri yang berlangsung selama 10 hari di Dataran Morib berjaya mendekati masyarakat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Rina Harun berkata, masyarakat sudah mengenali peranan kementerian dalam memperkasakan bidang keusahawan masyarakat luar bandar.
"Alhamdulillah saya telah diberitahu bahawa masyarakat telah didedahkan dengan peranan dan hala tuju masyarakat luar bandar secara komprehensif," katanya.
Menurutnya, pendedahan dan interaksi sebegini akan membolehkan masyarakat mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai fungsi dan perancangan kementerian untuk pembangunan luar bandar.
"Dalam masa yang sama, KPLB juga amat memerlukan kerjasama serta maklumbalas dari akar umbi untuk terus memperbaiki kelemahan yang ada," katanya yang teks ucapannya dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Zuhuraina Makmur pada ucapan penutup karnival tersebut.
Beliau berkata, aspek keusahawanan amatlah penting kerana ia menyumbang kepada kepesatan dan peningkatan ekonomi negara ke arah yang lebih positif.
"Bidang keusahawan ini kelak bakal melonjak sektor ekonomi serta menambah hasil pendapat negara," katanya.
Ketika ditemui Zuhuraina berkata, karnival tersebut akan menjadi agenda tahunan kementerian untuk mendekati rakyat.
"Tahun hadapan kami merancang untuk mengadakan di Port Dickson," katanya.
Lebih 100 usahawan wanita mengambil bahagian dengan menjual pelbagai barangan, perkhidmatan dan makanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!