Penjawat awam jangan terlibat aktiviti pembangkang: Mukhriz

Mukhriz (duduk; dua dari kiri) semasa sidang akhbar di Pejabat Amanah Kedah di Stargate, di sini malam tadi.
Mukhriz (duduk; dua dari kiri) semasa sidang akhbar di Pejabat Amanah Kedah di Stargate, di sini malam tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Penjawat awam Kedah diingatkan tidak menyertai sebarang aktiviti anjuran pembangkang seperti Perhimpunan Ummah di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya memantau serius perkara tersebut sekiranya ia mengganggu kerja hakiki sebagai penjawat awam dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat.

Menurutnya, pihaknya tidak mempertikaikan kecenderungan sokongan seseorang penjawat awam tersebut terhadap mana-mana parti, namun mendakwa kewujudan segelintir mereka yang cuba mensabotaj kerajaan negeri dan membantu parti pembangkang.

"Dalam tempoh dua tahun ini, kita guna pendekatan lembut dan berhemah tetapi mereka ambil kesempatan dan menggunakan peluang itu untuk bantu pihak pembangkang, ini sangat mengecewakan.

"Memang kita tahu latar belakang mereka menyokong parti mana, namun asalkan tidak jejaskan perkhidmatan dalam jawatan masing-masing, kita tak kisah tapi kalau ada unsur sengaja mahu menggagalkan atau menyusahkan kerajaan negeri, ia tak sepatutnya berlaku," katanya pada sidang media di Pejabat Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah di Stargate, di sini malam tadi.

Bagaimanapun, Mukhriz tidak menjelaskan bentuk tindakan yang akan diambil, namun memberitahu pihaknya masih lagi aktif memantau aktiviti-aktiviti penjawat awam tersebut.

"Kita kenal dan tahu siapa yang terbabit sebenarnya dan mereka terdiri daripada pelbagai jawatan.

"Sekarang ini tindakan itu tidaklah sampai sehingga menggunakan kuasa untuk memecat mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mukhriz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Kedah berkata, pihaknya menyeru agar penjawat-penjawat awam tersebut yang cenderung menyokong pembangkang agar memikul tanggungjawab dan menjalankan amanah sebaik mungkin.

"Laksanakan tugas demi rakyat seperti yang kami lakukan. Kami pun akan 'senyap'," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!