BAM sedia laksana Projek 24 segera

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sedia melaksanakan Projek 24 dengan segera tanpa perlu menunggu kelulusan Mesyuarat Ahli Majlis badan induk sukan itu.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya sudah membincangkan mengenai Projek 24 itu pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan BAM dan sudah pun dimaklumkan kepada Setiausaha Agung, Datuk Kenny Goh untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya, beliau sudah memaklumkan kepada Ahli Majlis BAM tentang antara perkara yang akan diberikan perhatian dalam projek tersebut iaitu penilaian prestasi pemain serta barisan kejurulatihan pada akhir tahun ini.

“Kita mahu program itu dilaksanakan sekarang dan jika ada perubahan selepas adakan mesyuarat Ahli Majlis, saya rasa tidak akan ada perubahan besar. Saya akan beritahu ahli majlis mengenai cadangan untuk melihat prestasi pemain senior dan juga barisan kejurulatihan sehingga hujung tahun ini.

“Jika keadaan memaksa sehingga hujung tahun untuk menggugurkan pemain, kita akan lakukannya demi Projek 2024.

"Sekiranya melibatkan kelayakan Olimpik, kita akan bersedia untuk mengambil langkah melepaskan pemain tersebut dan menjadi pemain bebas,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad badminton ke Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kazan, Rusia pada 30 September hingga 13 Oktober depan.

Projek 24, satu pelan yang akan diperkenalkan BAM yang mensasarkan pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024, selain menetapkan sasaran terhadap skuad badminton negara sebagai finalis Piala Thomas.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan projek itu, prestasi pemain akan dinilai setiap empat bulan dan bagi yang gagal memenuhi sasaran ditetapkan, mungkin terpaksa digugurkan dan bergerak sebagai pemain profesional.

“Seperti yang saya katakan, ia akan dinilai semula pada hujung tahun ini.

"Pemain dan jurulatih jika tidak menjadi sebahagian daripada 2024, kita akan bantu pemain tersebut menggunakan cara lain,” katanya.

Sementara itu, mengenai penampilan skuad remaja negara, Mohamad Norza berkata, beliau amat berharap para pemain menampilkan kesungguhan dalam menghadapi setiap perlawanan dan tidak perlu takut kepada lawan yang berada pada ranking lebih tinggi.

“Walaupun dari segi ranking mungkin kita agak ketinggalan berbanding negara lain tapi sebagai satu pasukan dan dengan pemain badminton yang berbakat, mereka perlu berusaha dan impikan untuk menjadi juara di Rusia.

“Tiada yang mustahil dan kita ada bakat individu dalam pasukan itu yang sekiranya mereka bermain dengan sepenuh potensi mereka, saya yakin mereka mampu melakukan kejutan.

"Saya mahu mereka mempunyai semangat, jika mereka mempunyai semangat patriotisme dan juga tidak rasa takut dengan mana-mana lawan, tiada yang mustahil,” katanya.

Skuad remaja yang diketuai perseorangan lelaki, Yap Roy King diundi bersama tuan rumah Russia, Kanada, Macau dan Hong Kong.

Untuk rekod, Malaysia pernah membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Yogyakarta, Indonesia, setelah tewas kepada juara 13 kali, China, pada aksi final. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!