16 individu disyaki terlibat Daesh ditahan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas 16 individu membabitkan warga tempatan dan asing selepas dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas.

No Image Caption

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas (E8) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi sepasukan anggota E8 itu dilakukan bermula 10 Julai hingga 25 September di sekitar Sabah, Sarawak, Selangor, Pulau Pinang, Pahang, Kuala Lumpur dan Johor.

Menurutnya, tangkapan pertama pada 10 Julai di Keningau, Sabah melibatkan seorang lelaki warga Indonesia berusia 25 tahun dan bekerja sebagai pekerja ladang kelapa sawit.

"Sejak awal tahun 2018, suspek telah berbaiah dengan pemimpin Daesh, Abu Bakar Al Baghdadi melalui aplikasi Telegram.

Suspek bertindak sebagai fasilitator yang menguruskan kemasukan sepasang suami isteri warga Indonesia bersama tiga anaknya yang melakukan serangan bunuh diri ke atas sebuah gereja di Jolo Filipina pada Disember tahun lalu.

"Suspek juga dipercayai menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas Maute di Selatan Filipina serta merancang untuk berjihad di Syria," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Beliau berkata, tangkapan kedua di Subang Jaya pada 2 Ogos membabitkan seorang wanita warga India berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pembantu pembersihan rumah.

Sejak tahun 2017 wanita terbabit menganggotai kumpulan Sikh For Justice (SFJ) yang diharamkan di India selain berperanan sebagai penyalur dana kepada kumpulan tersebut.

No Image Caption

Katanya, susulan itu dua lelaki rakyat tempatan berusia 21 dan 26 tahun turut berjaya ditahan di Keningau dan Tenom Sabah pada 6 September kerana berperanan sebagai fasilitator terhadap serangan di Jolo Selatan Filipina.

Selain itu menerusi operasi bermula 14 September hingga 25 September di sekitar Miri, Sarawak, Pulau Pinang, Pahang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor, polis berjaya melumpuhkan satu sel baharu Daesh gabungan antara rakyat Malaysia dan Indonesia membabitkan 12 individu termasuk seorang wanita berusia antara 22 hingga 36 tahun.

No Image Caption

"Tangkapan membabitkan seorang lelaki tempatan dan 11 warganegara Indonesia termasuk wanita berkenaan. Kumpulan ini aktif mempromosikan ideologi Daesh dan merekrut anggota baharu menerusi laman sosial terutamanya warganegara Malaysia dan Indonesia dan merancang untuk melakukan serangan terhadap kedua-dua negara berkenaan selepas berjaya merekrut seramai mungkin anggota.

"Kita juga mendapati lelaki Malaysia berkenaan merancang untuk melakukan serangan terhadap ahli politik dan penganut bukan Islam di negara atas alasan mereka menindas dan tidak menghormati ajaran Islam serta kaum Melayu," katanya.

Semua suspek disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) manakala wanita warganegara India terbabit ditahan mengikut Akta Imigresen dan diusir ke negara asalnya pada 15 Ogos lalu.

No Image Caption

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!