Netanyahu diberi tempoh 28 hari bentuk kerajaan baharu
AYAT FB: Politik Israel terus berdepan kebuntuan
TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berdepan tamparan memalukan selepas pilihan raya kedua yang diadakan pada minggu lalu diberi mandat oleh Presiden Reuven Rivlin untuk menubuhkan kerajaan dalam tempoh 28 hari.
Tugas itu diberikan kepada Netanyahu selepas usaha awal untuk rundingan antara beliau dan pesaing utamanya, Benny Gantz gagal mencapai sebarang kesepakatan.
Pemimpin berusia 69 tahun itu sekali lagi meminta pembentukan kerajaan perpaduan.
Gantz mengkritik taktik rundingan yang digunakan Parti Likud pimpinan Netanyahu dan menegaskan Parti Biru dan Putih yang dipimpinnya tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan dengan Perdana Menteri yang menghadapi dakwaan jenayah serius.
"Kita berdepan cabaran keselamatan dan diplomatik ketika ini. Kerajaan perpaduan yang luas amat diperlukan sekarang. Semua orang tahu tidak akan ada lagi peluang lain.
"Jadi saya akan melakukan segala-galanya menggunakan kuasa saya untuk mewujudkan kepimpinan bersama," katanya di kediaman Presiden semalam.
Mandat yang diberikan itu bagaimanapun tidak memberi jaminan Netanyahu akan dapat mengekalkan jawatannya untuk penggal kelima.
Difahamkan, Rivlin boleh menyerahkan tugasan itu kepada individu lain jika Netanyahu gagal melaksanakan tugas itu dalam tempoh diberikan.
Keputusan akhir pilihan raya menunjukkan Parti Biru dan Putih memperoleh 33 kerusi manakala Parti Likud meraih 32 kerusi daripada 120 kerusi di Knesset.
Selain itu Netanyahu juga menerima sokongan 55 ahli Parlimen untuk jawatan Perdana Menteri manakala Gantz mendapat 54 sokongan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!