UMT, UniSZA setuju gabung secara prinsip
KUALA TERENGGANU - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersetuju secara prinsip penggabungan kedua-dua universiti itu menggunakan Konsep Gabungan Sepenuhnya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama, Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar dan Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan menjelaskan bahawa mereka menerima surat bertarikh 20 September daripada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) berkaitan keputusan Jemaah Menteri pada 4 September 2019.
Keputusan berkenaan susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 April lalu yang mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji cadangan supaya UMT digabungkan dengan UniSZA yang berdekatan.
"Kami mengambil maklum Konsep Gabungan Sepenuhnya yang dicadangkan kerajaan dengan hasrat untuk memaksimumkan penggunaan sumber melalui penjajaran semula tenaga kepakaran universiti dan kemudahan infrastruktur sedia ada.
"Hal ini bertujuan memperkasakan lagi kebitaraan bidang fokus kedua-dua belah universiti, mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memberi lebih nilai tambah kepada pelajar, fakulti serta komuniti setempat seterusnya melonjakkan prestasi atau pencapaian ke tahap yang lebih cemerlang di peringkat global," kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, UMT dan UniSZA akan mengemukakan cadangan pelaksanaan penggabungan kepada KPM bermula dengan bengkel anjuran JPT pada hari ini dan esok untuk pertimbangan selanjutnya.
"Harapan kami seterusnya adalah penggabungan ini akan dapat melonjakkan bidang tujahan utama dari UMT seperti marin, maritim, oseanografi dan perikanan serta bidang tujahan utama UniSZA iaitu pengajian Islam dan perubatan ke peringkat global.
"Di samping itu, bidang-bidang ilmu lain di kedua-dua institusi ini turut diperkasakan terutamanya dari segi kualiti dan pencapaian prestasi sama ada melalui penjajaran program akademik dan strategi pengantarabangsaan.
"Integrasi dan kepelbagaian bidang yang berlainan, seperti kejuruteraan, sains serta sains sosial di antara kedua-dua institusi ini dilihat mampu melahirkan graduan holistik dan memperkasa kebolehpasaran graduan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!