JAS Johor tidak dapat sahkan data analisis sungai
PASIR GUDANG - [VIDEO] Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor tidak dapat mengesahkan data analisis pencemaran sungai yang didedahkan Biro Aduan Awam Putra Jumaat lalu.
Pengarahnya, Mohd Famey Yusoff berkata, teknik dan taktik pengambilan sampel air perlu mengikut piawaian ditetapkan bagi menentukan kepekatan bahan tercemar.
"Ada cara dan teknik sepatutnya dipatuhi ketika mengambil sesuatu sampel. Jadi pihak JAS tak dapat pastikan sama ada teknik dan taktik diambil individu memenuhi piawaian ditetapkan.
"JAS tak dapat nak pastikan data itu benar atau tidak sebab kita kena faham air itu mengalir," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan program Sekolah Angkat Industri Daerah Pasir Gudang (PROSPAG) 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang hari ini.
Menurutnya, data kandungan air yang mengalir akan berbeza setiap waktu.
"Kalau puan (pemberita) ambil (sampel air) sekarang dengan esok, (kandungannya) lain. Sampel jam sekarang dengan jam berikutnya pun dah lain sebab air itu mengalir.
"Jadi ini semua memainkan peranan dalam menentukan kepekatan bahan tercemar dalam air," katanya.
Jumaat lalu Biro Aduan Awam Putra mendedahkan keputusan ujian makmal sampel air 10 lokasi di jajaran Sungai Kim Kim yang menunjukkan tahap pencemaran berganda daripada kategori sungai mati
Dalam pada itu Mohd Famey berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan hasil analisis semua sungai di Pasir Gudang kerana masih dalam siasatan.
"Kita kena faham ada sesetengah kes ini dibawa ke mahkamah dan dalam siasatan. Macam polis, kita tak boleh dedahkan semua sekali, sama macam kita. Kita kira polis alam sekitarlah, ada perkara-perkara yang kita tidak boleh berkongsi dengan pihak awam.
"Bukan kata kita nak simpan (hasil analisis) tapi perkara itu masih dalam siasatan kita. Kalau saya dedahkan, kes pegawai penyiasat saya rosak. Jadi ada perkara yang kita perlu patuhi," katanya.
Sementara itu dalam program fasa pertama itu, sebanyak 16 industri di Pasir Gudang telah menyerahkan alat pengesan gas kepada 20 buah sekolah angkat masing-masing.
Kata Mohd Famey, sehingga kini 64 industri di Pasir Gudang telah bersetuju untuk membekalkan alat pengesan gas kepada 111 sekolah yang terjejas akibat pencemaran Sungai Kim Kim dan isu gangguan kesihatan.
JAS tak dapat sahkan analisis anak Sg Kim KimPengarah JAS Johor, Mohd Famey Yusof akui tidak dapat mengesahkan atau menafikan data analisis 10 anak Sungai Kim Kim yang didedahkan Biro Aduan Awam Putra Jumaat lalu, lapor Wartawan Johor Bahru, Raziatul Hanum A.Rajak.
Posted by Sinar Harian on Thursday, September 26, 2019
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!