Inkues Adib: Mahkamah Koroner ada cukup bukti

Adnan ketika ditemubual pada program Sinar Live bertajuk 'Inkues Apa Yang Perlu Kita Tahu, Bersama Adnan Seman' di sini hari ini.
Adnan ketika ditemubual pada program Sinar Live bertajuk 'Inkues Apa Yang Perlu Kita Tahu, Bersama Adnan Seman' di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - [VIDEO] Mahkamah Koroner mempunyai bukti yang cukup untuk membuat keputusan berhubung prosiding inkues anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim esok.

Peguam Adnan Seman berkata, beliau yakin keputusan itu dapat dibuat selepas Koroner Rofiah Mohamad meneliti semua keterangan yang diambil daripada saksi-saksi sebelum ini.

"Saya tidak berniat untuk mencampuri keputusan mahkamah namun mengikut pandangan peribadi selepas mengikuti kes ini sejak awal lagi, mungkin wujud beberapa kemungkinan dalam keputusan itu sama ada kematian arwah Adib disebabkan kemalangan atau dibunuh oleh orang yang tidak diketahui.

"Bagaimanapun agak sukar untuk mendapatkan sabitan membunuh berikutan tiada saksi mata yang melihat kejadian berkenaan selain terdapat perbezaan pendapat serta keterangan yang diberikan oleh Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Pakar Forensik Patologi United Kingdom (UK), Professor Dr Shahrom Abd Wahid berhubung laporan bedah siasat kematian Adib," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual pada program Sinar Live bertajuk 'Inkues Apa Yang Perlu Kita Tahu, Bersama Adnan Seman' di sini hari ini.

Menurutnya, satu lagi kemungkinan daripada inkues itu ialah Mahkamah Koroner boleh membuat keputusan terbuka.

Dalam keadaan itu katanya mahkamah boleh memutuskan punca atau keadaan kematian Muhammad Adib tetap tidak diketahui atau dapat dijelaskan.

“Kalau mahkamah memberikan penghakiman terbuka, ia akan jadi lebih sukar untuk pendakwa mendapatkan sabitan membunuh kerana punca kematian tidak diketahui dengan jelas sama ada mati dipukul atau dibunuh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Adnan berkata, beliau percaya institusi kehakiman adalah bebas serta dihormati dan akan membuat keputusan yang tepat dan benar mengenai punca kematian itu."Kita mahukan proses untuk mencapai keadilan. Apapun kita doakan akan ada keadilan dalam kes ini," katanya.

Prosiding inkues telah bermula 11 Februari lalu dengan seramai 30 saksi dipanggil untuk memberi keterangan termasuk beberapa saksi pakar.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

[LIVE]: Inkues Apa Yang Perlu Kita Tahu, Bersama Adnan Seman Sokong kami demi berita telus, tulus dan berkualiti. Klik di sini: bit.ly/sokongberitakami #SinarLive #SinarTV #SinarHarian

Posted by Sinar Harian on Wednesday, September 25, 2019

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!