Percikan karakter cupid unik, comel

KOLEKSI baharu Zuusaha mengetengahkan siluet pakaian bersaiz oversized yang selesa dan ideal dipraktikkan konsep suai dan padan mengikut stail individu.
KOLEKSI baharu Zuusaha mengetengahkan siluet pakaian bersaiz oversized yang selesa dan ideal dipraktikkan konsep suai dan padan mengikut stail individu.
A
A
A

COMEL, unik dan be bold! (berani).

Tiga perkataan tersebut tepat untuk menggambarkan koleksi fesyen jenama Zuusaha pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019 (KLFW 2019) yang berlangsung di ibu kota bulan lalu.

Para pencinta fesyen yang hadir pada pertunjukan fesyen tersebut umpama anak kecil yang terpaku di depan kaca televisyen menonton cerita kartun.

Keterujaan mereka semakin terserlah tatkala satu persatu model mengatur langkah di atas pentas peragaan dalam persalinan busana kombinasi pelbagai karakter kartun dan seni pop (pop art).

Menurut pengasas dan pereka fesyen Zuusaha, Nik Siti Zubaidah Sahar, 27, jenama tersebut pantas memikat hati pecinta fesyen tempatan selepas koleksi debut bertemakan Reborn dilancarkan pada KLFW 2018.

"Percaturan menampilkan rekaan art-to-wear bespoke nampaknya berjaya mencuri perhatian orang ramai khususnya kelompok yang dahagakan sesuatu karya yang berbeza dan lari daripada kebiasaan.

"Penggunaan hasil kerja tangan yang menampilkan konsep tiga dimensi (3D) pada setiap rekaan tahun lalu turut meninggalkan impak positif dalam catatan industri fesyen tanah air," jelas bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur kepada Femina ketika ditemui baru-baru ini.

Berbicara lanjut, gadis kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu memberitahu, pada tahun ini beliau masih mengekalkan karakter kartun, tetapi tema yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

"Impian saya untuk tempoh lima tahun akan datang adalah memastikan jenama Zuusaha melebarkan sayap ke persada dunia seterusnya mengharumkan nama Malaysia.

"Jika label luar negara berjaya mengetengahkan produk fesyen seni pop seumpama ini, mengapa tidak kita? Malaysia Boleh!,” tuturnya yang mesra disapa Zubaidah.

Persoalannya, mengapa seni karakter kartun menjadi taruhan jenama Zuusaha pada kala barisan pereka lain lebih cenderung mengetengahkan busana elegan, anggun dan sofistikated?

Ikuti ceritera eksklusif Zubaidah bersama wartawan Femina, IZYAN LIYANA MOHD DARIF mengenai jenama kesayangannya sebaik sahaja KLFW 2019 melabuhkan tirai.

1. Sejak bila tercetusnya idea mewujudkan label fesyen Zuusaha dan Femina difahamkan terdapat makna tersirat di sebalik tujuh aksara jenama (Zuusaha) ini?

ZUBAIDAH: Jika diikutkan jenama Zuusaha tercipta pada tahun akhir pengajian saya, peringkat Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Usai menamatkan pengajian, berbekalkan semangat dan ilmu yang disemai di universiti, saya tekad mengorak langkah dalam persada fesyen tempatan dengan mengekalkan nama Zuusaha.

Lagipun Zuusaha tersebut adalah simbolik gabungan nama saya (Zubaidah) dan ayah (Sahar).

Kombinasi ejaan unik itu hasil cetusan idea daripada pensyarah di fakulti yang dikenali sebagai Prof Syuk.

2. Jika diperhatikan jenama Zuusaha dikomersialkan dalam konsep rekaan berbeza, unik dan comel. Ulaskan lebih lanjut mengenai signatur fesyen yang diketengahkan?

Ironinya, setiap pereka sentiasa kreatif dalam mencari konsep idea dan identiti supaya produk yang dihasilkan mempunyai daya tarikan tersendiri. Zuusaha juga tidak terkecuali.

Saya cuba menyuntik kelainan dengan menampilkan variasi karakter kartun sebagai signatur utama rekaan fesyen jenama Zuusaha.

Karakter kartun tersebut merupakan hasil lakaran peribadi sebelum ia diterjemahkan dalam bentuk pakaian.

Kartun pilihan Zuusaha terdiri daripada The Blue Poison, Gothic Cupid, Love Cupid, Ambitious Cupid, Cat Cupid dan Food Cupid yang mana setiap karakter memiliki metafora masing-masing.

Misalnya, Food Cupid membawa definisi supaya jangan berasa ragu-ragu untuk menikmati kehidupan. Lakukan apa sahaja yang disukai kerana hidup hanya sekali.

Kadangkala kita juga memerlukan cheat day. Hilangkan stres seketika dan nikmati makanan kegemaran. Bagaimanapun, kita jangan lupa untuk menjaga diri.

3. Majoriti pereka wanita lebih cenderung menghasilkan busana anggun dan elegan sama ada untuk majlis pernikahan, perkahwinan ataupun dres formal, tetapi anda pula sebaliknya. Mengapa fesyen kartun dan pop art yang menjadi pilihan?

Sememangnya saya gemarkan kelainan dan sesuatu yang inovasi serta kreatif di luar kotak.

Lagipun inisiatif ini selari dengan matlamat saya yang ingin berkarya supaya industri fesyen tanah air berterusan diwarnai rekaan baharu dan lebih segar.

Lantas, Zuusaha memilih untuk mengangkat tema pop art dan karakter kartun yang 'dilahirkan' saya sendiri sebagai pelengkap untuk merealisasikan impian tersebut.

Sementara itu, percikan warna berani dan terang pada setiap helaian fesyen Zuusaha pula salah satu medium untuk saya mengekspresi diri dalam hasil seni.

4. Pada tahun ini, Zuusaha kembali beraksi di atas pentas KLFW 2019. Apakah tema yang ditonjolkan pada tahun ini berbanding KLFW 2018?

Tahun lalu, seleksi fesyen Zuusaha bertemakan Reborn ilham daripada kehidupan saya yang lalu termasuk insan sekeliling, emosi dan liku-liku sepanjang menapak dalam dunia fesyen tempatan.

Bagaimanapun, bagi KLFW 2019 koleksi fesyen Zuusaha merupakan inspirasi daripada mitos Love Cupid (dewa cinta) yang terkenal dengan kisah cinta tidak kesampaian gara-gara dikhianati.

Enggan membiarkan individu lain menerima nasib yang sama, maka Love Cupid menyebarkan kasih sayang dan cinta kepada semua orang.

Selain Love Cupid, jenama Zuusaha juga mengolah beberapa karakter kartun yang saling berkait rapat dan mempunyai fungsi sebagai Cupid. Ia terdiri daripada Cat Cupid, Cool Cupid, Food Cupid, Gothic Cupid, Ambitious Cupid dan Bad Cupid.

5. Bagaimana pula dengan pemilihan motif, rekaan dan material yang diterapkan pada helaian fesyen Zuusaha untuk KLFW 2019?

Pada kali ini, saya mengetengahkan siluet pakaian bersaiz besar (oversized) yang selesa dan ideal dipraktikkan konsep suai dan padan mengikut stail individu.

Dari segi material pula, fabrik yang dicetak khas mengikut rekaan dan grafik menjadi pilihan memandangkan ia bersesuaian dengan tema pop art.Lebih istimewa, pada tahun ini, Zuusaha turut bekerjasama dengan jenama kasut popular, Dr Martens manakala sesi pertunjukan fesyen kami dibawa oleh label telefon pintar Huawei Nova 5T.

6. Pada pengamatan anda, negara mana yang menyambut baik, sekali gus mempraktikkan dan meminati fesyen pop art?Secara subjektif, fesyen pop art sudah lama diterima baik masyarakat di luar seperti Jepun dan Amerika Syarikat.

Bahkan, di negara jiran Indonesia juga sebahagian besar individu gemar menggayakan stail warna-warni dan terang.

ZUBAIDAH SAHAR
ZUBAIDAH SAHAR

ANEKDOT ZUUSAHA

Nama penuh: Nik Siti Zubaidah Sahar

Umur: 27 tahun

Asal: Seremban, Negeri Sembilan

Adik-beradik: Anak kedua daripada tiga beradik

Pendidikan:

- Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, UiTM Shah Alam, Selangor

- Diploma Seni Reka Fesyen, UiTM Seri Iskandar, Perak

Kerjaya: Pereka fesyen

Pencapaian: -Gold Award, Final Degree Show UiTM Shah Alam 2015

-Top 5 Pereka Baru Pilihan Anugerah Stail Eh! 2019

Warna kegemaran: Hitam, putih dan biru

Hobi: Membaca

Idola: Rei Kawakubo

Instagram: @zuusaha

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!