Jerebu: JBPM Pahang tumpu kawasan kebakaran terbuka

Nor Hisham (dua dari kiri) pada acara penyampaian sijil penyertaan Bengkel Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka Kebangsaan-Pelaksanaan Peringkat Negeri Pahang di sini hari ini.
Nor Hisham (dua dari kiri) pada acara penyampaian sijil penyertaan Bengkel Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka Kebangsaan-Pelaksanaan Peringkat Negeri Pahang di sini hari ini.
A
A
A

PEKAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang akan memberi tumpuan pada lokasi hotspot berlakunya kebakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan jerebu semakin buruk.

Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, pihaknya akan memberi perhatian lebih kepada kawasan paling sensitif iaitu kawasan tanah gambut di Kuantan, Rompin dan Pekan yang sedang berlaku kebakaran belukar pada masa ini.

Menurutnya, meskipun keadaan jerebu yang melanda negara disebabkan kebakaran di Sumatera, Indonesia itu masih terkawal, langkah-langkah lain perlu dilaksanakan sebagai persediaan awal.

"Setakat ini semua anggota seluruh negeri mengambil langkah berjaga-jaga kerana tidak mahu berlaku kebakaran terutamanya di kawasan titik panas.

"Masyarakat turut dinasihatkan untuk tidak sewenang-wenangnya membuat pembakaran terbuka.

"Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian kita, kebanyakan kebakaran terbuka berlaku di kawasan awam, tepi jalan dan tanah bukan persendirian," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program Bengkel Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka Kebangsaan-Pelaksanaan Peringkat Negeri Pahang di sini hari ini.

Bengkel anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang itu turut membabitkan 21 jabatan dan agensi lain di negeri ini bertujuan menggerakkan secara berkesan sumber-sumber tenaga manusia, logistik dan peralatan dalam menangani insiden pembakaran terbuka.

Nor Hisham berkata, sehingga 31 Ogos 2019, Pahang mencatatkan 241 hotspot sehingga September 2019 berbanding 178 tahun lalu dan daripada jumlah itu, 82 daripadanya adalah di tanah gambut.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, bengkel yang dilaksanakan selama tiga hari sejak 24 September lalu itu akan memberi suatu tindakan menyeluruh terhadap pencegahan pembakaran terbuka.

"Penguatkuasaan bukan elemen yang kritikal lagi pada masa kini sebaliknya hubungan dengan komuniti itu perlu diperkasakan, ceritakan sesuatu di luar kepompong pemikiran.

"Masyarakat perlu disedarkan bahawa impak pembakaran ini bukan sahaja terhadap kesihatan sebaliknya imej negara. Perkara itulah yang perlu dikongsi bersama," katanya.

Hasil daripada bengkel tersebut katanya, JBPM akan melihat bagaimana untuk bekerjasama dengan jabatan jabatan lain bagi mengatasi masalah itu selain memperhalusi gerak kerja yang lebih kepada keperluan komuniti setempat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!