Jawatankuasa khas banteras 'Ali Baba' di Pasar Borong Selayang
KUALA LUMPUR - Berikutan semakin ramai warga asing dilihat memonopoli gerai-gerai di sekitar Pasar Borong Selayang dengan kebanyakan mereka menyewanya daripada pemilik tempatan, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi membanteras kegiatan 'Ali Baba' itu.
Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata, jawatankuasa itu akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Imigresen dalam menjalankan bancian di situ.
Menurutnya, sehingga kini terdapat lebih 500 penjaja dan peniaga di sekitar Pasar Borong Selayang yang kini ditempatkan di kawasan sementara bagi memberi laluan kepada pembinaan kompleks pasar baharu termasuk pusat penyembelihan ayam sejak 2018.
"Sebelum ini DBKL memang ada membuat bancian tetapi hanya berdasarkan kepada pendaftaran peniaga secara dalam talian, jawatankuasa kami akan turun padang sendiri membuat bancian dan membuat perbandingan dengan bancian DBKL bagi mendapat jumlah yang lebih tepat.
"Selain dapat membanteras gerai-gerai haram, kami juga turut membantu DBKL dan Jabatan Imigresen mengenal pasti kegiatan 'Ali Baba' kerana berdasarkan tinjauan kami beberapa hari lepas, kegiatan itu berleluasa dan sukar dikawal jika dibiarkan berterusan," katanya.
Prabakaran berkata, kegiatan 'Ali Baba' ini harus dihentikan bagi memberi peluang kepada lebih ramai warga tempatan B40 menjalankan perniagaan seterusnya membantu mereka menjana pendapatan sampingan.
"Bancian itu akan dilakukan pada bila-bila masa sahaja dan kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak untuk membanteras kegiatan itu kerana kegiatan rasuah terus berleluasa sehingga kini," katanya.
Beliau berkata, selain itu pihaknya turut mahu DBKL membina satu lagi pusingan U bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas selepas kompleks pasar baharu itu siap menjelang tahun depan.
"Sekarang ini sudah ada dua pusingan U di sepanjang Jalan Kuching, jika dibuka satu lagi pusingan U diharap masalah kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan berikutan Jalan Kuching dan jalan di sekitar pasar borong itu turut akan dilebarkan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!