Konstabel polis maut dilanggar lari
IPOH - Seorang anggota polis maut dalam kejadian dipercayai langgar lari di Desa Pakatan, Lahat di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, kemalangan kira-kira jam 12.20 tengah hari itu menyebabkan Konstabel Mohamad Riezal Izani Shakri, 24, yang bertugas di Balai Polis Kampung Baru, Buntong meninggal dunia di tempat kejadian.
“Polis menerima maklumat daripada orang awam menyatakan terdapat kemalangan berlaku membabitkan sebuah motosikal dan kereta.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dalam perjalanan menuju ke balai telah dilanggar sebuah kereta nombor pendaftaran tidak pasti,” katanya.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
“Bagaimanapun, pemandu kereta merupakan seorang wanita berusia 57 tahun yang awalnya melarikan diri berjaya ditahan ketika membuat laporan di balai polis,” katanya.
Mohamad Nordin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!