Bertenang, pesan Wan Azizah isu perbezaan pendapat dalam PKR

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) pada Program Street Dakwah sempena Sambutan Tahun Baharu 2019 berhampiran KLCC malam ini. Foto: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) pada Program Street Dakwah sempena Sambutan Tahun Baharu 2019 berhampiran KLCC malam ini. Foto: Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - "Keep cool, keep cool (bertenang, bertenang),'' kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika diminta mengulas mengenai perbezaan pendapat secara terbuka di antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung pelantikan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Beliau yang juga pengerusi majlis penasihat PKR berkata, buat masa ini beliau mahu semua anggota PKR memberikan ruang kepada Anwar untuk mencorak kepimpinan parti itu setelah beliau dipilih sebagai presiden yang baharu pada pemilihan PKR lepas.

Katanya, pelantikan beberapa jawatan utama dalam parti oleh Anwar itu adalah kerana beliau mahu mengukuhkan kesatuan antara anggota-anggota parti.

"Saya rasa beri peluang kepada presiden menerajui parti ... kita telah pilih dia, seperti saya kata ini adalah presiden yang menjadi faktor perpaduan di kalangan anggota parti kita,” katanya.

Ditanya mengenai potensi Mohamed Azmin mencabar jawatan presiden PKR pada masa akan datang, Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu banyak berlaku dalam mana-mana parti politik sekalipun.

Terdahulu beliau hadir memberikan sokongan kepada kempen Street Dakwah sempena sambutan Malam Tahun Baru 2019 di sekitar KLCC malam ini.

Beliau meluangkan masa lebih setengah jam beramah mesra bersama 50 sukarelawan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang mengangkat pelekat dan mengedarkan risalah yang membawa mesej-mesej keharmonian kepada orang ramai.

Kempen yang dimulakan sejak awal malam itu adalah salah satu usaha mendekati golongan muda dalam memberikan mesej kesedaran supaya tidak terlibat dengan masalah sosial seperti pergaulan bebas, seks dan pembuangan bayi selain memupuk kecintaan kepada nilai-nila murni.

Dr Wan Azizah berkata, kempen itu adalah salah satu cara usaha pencegahan dengan memberikan kesedaran kepada golongan muda melalui program turun padang supaya tidak terjebak dengan masalah sosial.
Artikel Berkaitan:


"Kita tahu jiwa anak muda sentiasa mahu mencuba, mahu melakukan eksperimen yang boleh menyebabkan mereka terdedah dan terjebak dengan masalah sosial.

"Jadi kempen ini salah satu bentuk pencegahan melalui hebahan kepada orang ramai supaya mereka sedar tentang risiko itu dan mereka tahu bantuan yang boleh diterima sekiranya terlibat seperti menghubungi talian kasih 15999, " katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!