Bomba berjaya pujuk lelaki mahu terjun bangunan
SEREMBAN - Bomba berjaya memujuk seorang lelaki daripada terjun dari tingkat tiga bangunan sebuah pasar raya di Seremban 2 di sini petang tadi.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan, Mohd Syazwan Saidy berkata, bomba menerima maklumat kejadian jam 3.15 petang dan bergegas ke lokasi dengan kekuatan 15 anggota berserta sebuah jentera dan aerial ladder platform (ELP).
"Sebaik sampai didapati seorang lelaki berdiri di hujung tembok bangunan di bahagian parkir tingkat tiga premis dalam keadaan cuba untuk terjun.
"Saya mengambil masa 10 minit untuk memujuk lelaki berkenaan supaya membatalkan niatnya untuk terjun dan cuba menenangkannya dengan menggunakan kaedah psikologi," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, ketika merapati mangsa, beliau telah memberi isyarat kepada anggota lain dan polis supaya menarik kaki mangsa yang kemudian berjaya diselamatkan.
Mohd Syazwan berkata, isteri mangsa berusia 25 tahun yang turut berada di lokasi memberitahu suaminya sempat menghubunginya memberitahu mahu membunuh diri dengan terjun bangunan.
"Isteri mangsa memberitahu sebelum kejadian itu, mangsa bertengkar dengan ibu bapanya ketika makan tengahari di rumah sebelum bertindak keluar 20 minit kemudian.
"Namun dia dikejutkan dengan panggilan mangsa yang memberitahu mahu membunuh diri dan bergegas ke lokasi. Hasil temu bual dengan ibu bapa mangsa juga memberitahu anaknya kerap alami halusinasi beberapa hari ini," katanya.
Katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!