Pelajar maut ketika bantah undang-undang baharu Indonesia
JAKARTA - Seorang pelajar meninggal dunia hari ini ketika ribuan penunjuk perasaan berhimpun di jalan-jalan utama seluruh Indonesia bagi membantah undang-undang baharu termasuk kanun keseksaan jenayah yang akan memperuntukkan hukuman terhadap pesalah zina, menghina Presiden dan rasuah.
Kematian itu menandakan angka korban pertama sejak tunjuk perasaan tercetus beberapa hari lalu yang menyaksikan pertempuran ganas antara pelajar dan polis.
Situasi di republik itu sekali gus mencetuskan gesaan supaya Amnesty International menyiasat apa yang digambarkan sebagai keganasan polis pada skala besar terhadap penunjuk perasaan.
Mangsa berusia 21 tahun dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan pada dada namun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu ketika rusuhan tercetus di Kendari, Sulawesi Selatan yang menyaksikan bangunan Parlimen tempatan dibakar.
Bagaimanapun, polis menafikan penglibatan mereka dalam kematian pemuda berkenaan di tengah-tengah tuduhan di media sosial yang mendakwa pelajar kejuruteraan itu ditembak.
"Ada seorang pelajar cedera dalam kalangan penunjuk perasaan. Dia kemudian dikejarkan ke hospital dan diisytiharkan meninggal dunia.
"Terdapat kesan luka pada dada kiri mangsa, tapi saya tidak boleh sahkan bentuk kecederaannya.
"Tiada anggota kami yang membawa peluru hidup mahupun peluru getah," kata jurucakap polis Sulawesi Selatan, Harry Golden Hart kepada Metro TV.
Sejak Isnin lalu, ribuan pelajar berhimpun di laluan depan dan belakang bangunan Parlimen di Jakarta bagi menentang undang-undang anti rasuah yang tidak mesra rakyat tetapi mesra pelaku rasuah.
Presiden Indonesia, Joko Widodo Jumaat lalu menangguhkan undian Parlimen terhadap undang-undang jenayah baharu yang akan menggantikan undang-undang era penjajahan Belanda, menyatakan Parlimen perlu membincangkan rang undang-undang itu pada bulan depan.
Pindaan undang-undang itu turut membabitkan penjara empat tahun menyebabkan keguguran tanpa kecemasan perubatan atau rogol dan penjara untuk sihir. - AFP
ARTIKEL BERKAITAN Ribuan mahasiswa bantah rang undang-undang baharu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!