Konflik dunia semakin parah
MELIHAT kepada keadaan dunia yang kini dilanda krisis tidak kunjung selesai menyebabkan kita bertanya ke mana arah dunia selanjutnya nanti. Jika diteliti dari timur hingga ke barat, utara ke selatan, seolah-olah dunia yang sepatutnya bertamadun tinggi, kemajuan dan kecanggihan lebih baik, namun kini jelas berada dalam krisis.
Di timur, konflik maritim di Laut China Selatan tidak selesai. Pertelingkahan tujuh negara yang saling berebut dan menuntut pemilikan lautan melibatkan Brunei, China, Taiwan, Malaysia, Indonesia, Filipina dan Vietnam.
Amerika Syarikat (AS) kini bertegang dengan Korea Utara, isu senjata nuklear. Setiap kali Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu nuklear, AS menyatakan kesediaan untuk berperang.AS juga berkonflik perdagangan dengan China. Sehingga kini, krisis antara dua kuasa besar itu saling mencabar antara satu sama lain. Perang perdagangan itu menjejaskan ekonomi dunia.
China memiliki polisi anti agama yang menekan etnik Uyghur di Xinjiang dan kini menahan lebih sejuta kaum Uyghur dan minoriti Muslim di kem latihan vokasional.
Sementara itu, krisis di Hong Kong berlarutan sehingga hampir dua bulan antara rakyat dengan pihak berkuasa yang pro-China. Rakyat memberanikan diri turun ke jalanan menentang polisi China dan pihak berkuasa China menekan Hong Kong.
Filipina berkonflik lama di Mindanao. Ribuan nyawa terkorban sejak konflik antara kerajaan Manila dengan gerakan Bangsa Moro. Hanya sekarang baru persetujuan damai dimeterai.
Di Indonesia, terbaru adalah di Papua Barat. Pertempuran antara rakyat dengan tentera tercetus. Kini keadaan semakin tegang kerana ada kumpulan yang menggerakkan tuntutan untuk bebas daripada Indonesia.
Di Thailand Selatan pula, krisis antara Bangkok dengan pejuang pemisah Pattani belum reda. Sejak peristiwa 2004, ribuan terbunuh kerana menuntut kemerdekaan. Di Myanmar, keadaan semakin kompleks apabila kerajaan Myanmar masih tidak menyelesaikan isu Rohingya dan beberapa etnik minoriti yang bertempur dengan tentera.
Di India, krisis golongan fanatik Hindu yang menerajui kerajaan BJP menyasarkan minoriti Muslim, Kristian dan Dalit. Agenda Hindutva iaitu ketuanan Hindu mewarnai keganasan yang menyebabkan ramai terbunuh.
Serangan
Kini India berkonflik dengan Pakistan dalam isu Kashmir. Hak warga Kashmir dinafi oleh India dan terbaru India mengenakan sekatan ke atas Kashmir yang menjejaskan 8 juta penduduk Kashmir.
India juga berkonspirasi dengan AS dan Israel untuk menjatuhkan Pakistan.
Ditambah pula ketegangan AS dan Saudi memuncak dengan Iran. Keghairahan Arab Saudi didokong AS mahu melancarkan perang dengan Iran.
Afghanistan pula berkrisis antara golongan Taliban dengan kerajaan disokong AS. Setelah rundingan Taliban-AS gagal, Afghanistan tidak nampak penyelesaian, yang kini telah mengorbankan ribuan nyawa rakyat.
Iraq sejak pencerobohan AS kini berkonflik berterusan antara kumpulan ISIS dengan kerajaan.
Isu Palestin pula berlarutan lebih 70 tahun. Keganasan dan pencerobohan rejim Zionis terhadap warga Palestin tidak mereda, malah bertambah buruk.
Gaza terus dikepung dan diserang Israel manakala Tebing Barat dikawal ketat oleh Israel. Baitulmuqaddis dan Masjid Al-Aqsa terus diancam oleh Yahudi Israel. Israel terus disokong oleh AS dalam apa sahaja tindakan.
Syria pula hancur akibat peperangan proksi melibatkan kuasa Barat dan penyokong Basyar Assad. Syria menjadikan medan kuasa besar menguji persenjataan AS. Ratusan ribu rakyat Syria terbunuh, jutaan menjadi pelarian.
Sementara itu, Yemen melalui kemusnahan yang parah. Kematian dan kebuluran melibatkan jutaan rakyat.
Barat dan negara Eropah juga tidak terlepas daripada krisis. Kebangkitan rakyat yang turun ke jalanan seperti di Perancis, Ukraine, Britain malah di AS sendiri. Rakyat di Barat berdepan dengan krisis ekonomi akibat isu Brexit.
Ditambah lagi krisis politik dan kebangkitan rakyat bergolak di Sudan, Tunisia, nigeria, Somalia dan terbaru di Mesir.
Tidak ketinggalan Amerika Latin mengalami krisis ekonomi.
Dunia buntu untuk menyelesaikan krisis alam sekitar. Keadaan alam sekitar yang menunjuk tanda dunia akan berdepan dengan musibah berskala besar.
Apakah dunia dapat pulih daripada krisis yang semakin parah ini? Ia bergantung kepada kepimpinan dunia yang sepatutnya lebih waras dan memikirkan nasib generasi mendatang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!