Kimia tumpah: Penduduk tidak dibenar pulang ke rumah

Semalam, lori tangki dengan muatan aceton yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Pulau Pinang itu terbabas sebelum terbalik ke dalam parit di kampung berkenaan kira-kira jam 5 pagi.
Semalam, lori tangki dengan muatan aceton yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Pulau Pinang itu terbabas sebelum terbalik ke dalam parit di kampung berkenaan kira-kira jam 5 pagi.
A
A
A

IPOH - Tiga keluarga di Kampung Parit Mentara 3, Bagan Serai yang diarah berpindah semalam berikutan rumah mereka berada dalam radius 100 meter dari lokasi tumpahan cecair kimia jenis 'acetone' belum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, langkah itu diambil bagi mengelak penduduk terjejas dengan operasi mengangkat serta mengalihkan lori tangki terbabit.

"Penduduk tidak dibenarkan lagi untuk pulang ke rumah kerana pergerakan kren dan petugas akan menjejaskan aktiviti harian mereka," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Mohamad Yunus berkata, operasi mengangkat dan mengalihkan lori tangki dengan muatan 20,000 liter 'acetone' yang terbalik ke dalam parit di kampung itu tertangguh petang tadi selepas sebuah kren disambar petir.

Menurutnya, susulan kejadian yang berlaku jam 3.30 petang itu turut menyebabkan satu daripada dua kren yang digunakan dengan berat 40 tan setiap satu menghadapi masalah elektrik.

"Kerja mengangkat dan mengalihkan lori tangki bermula jam 2 petang tadi sebelum hujan lebat sehingga memaksa operasi dihentikan sementara.

"Kita berharap agar kren itu dapat dibaiki segera dan usaha mengangkat serta mengalihkan lori tangki diteruskan malam ini," katanya sambil menambah hujan membantu mengurangkan risiko sambaran (percikan).

Semalam, lori tangki dengan muatan aceton yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Pulau Pinang itu terbabas sebelum terbalik ke dalam parit di kampung berkenaan kira-kira jam 5 pagi.

Artikel Berkaitan:

Acetone merupakan cecair kimia tanpa warna, mudah meruap, mudah bakar dan sering digunakan sebagai pelarut antaranya untuk cat serta pewarna kuku.

Pihak bomba bagaimanapun telah mengesahkan tiada bahan berbahaya dalam udara di kampung terbabit. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Treler bahan kimia terbalik: Bomba sahkan tiada bahan bahaya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!