Manuskrip lama mantapkan ilmu tasawuf
KUANTAN - Manuskrip lama zaman Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani yang dicari dan dikumpulkan Profesor Dr Sayyid Syekh Muhammad Fadhil Al-Jailani mampu memantapkan ilmu tasawuf dalam kalangan masyarakat dan pelajar di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama, Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, manuskrip itu adalah bahan yang bernilai dan perlu dimanfaatkan sebaiknya.
"Bahan ini (manuskrip) bahan kajian dan rujukan terbaik buat pelajar dan masyarakat yang mahu mendalami ilmu agama.
"Jadi ia dikongsi bersama peserta seminar hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Talaqqi Memasyarakatkan Zikrullah anjuran Yayasan Pahang dan Yayasan Al-Qadri di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang semalam.
Seramai 3,849 dengan 22 pusat pengajian termasuk di Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Tuanku Sultan Mizan Putrajaya turut serta dalam seminar ini.
Seminar anjuran Yayasan Pahang itu memasuki siri keenam dan sebelum ini mereka pernah menjemput Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Allahyarham Sheikh Nuruddin Al Banjari sebagai ahli panel.
Menyentuh mengenai penganjuran seminar itu, Syed Ibrahim berkata, pihak Yayasan Pahang kali ini membawa ilmuan dan ulama tersohor dari dalam dan luar negara bagi memantapkan kefahaman dalam ilmu agama seperti fekah, tauhid serta tasawuf.
Katanya, dua tokoh iaitu Dr Sayyid dari Turki dan Syeikh Sidi Rohimuddin Nawawi Al- Jahary Al-Bantany masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang ilmu-ilmu terbabit.
"Sebagai contoh Dr Sayyid yang juga generasi ke-25 dari Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani dari Turki pakar dalam bidang keagamaan dan beliau yang memiliki Yayasan Al-Qadri ssrt mempunyai hubungan rapat dengan Yayasan Pahang.
"Jadi mereka sendiri menawarkan diri untuk datang ke sini bagi berkongsi ilmu berkaitan tasawuf bersama pelajar Yayasan Pahang serta orang awam.
"Saya difahamkan beliau mengunjungi lebih 30 negara dalam usaha mengumpul semua manuskrip termasuk perpustakaan di Vatican dan sehingga kini, Dr Sayyid Syekh Muhammad Fadhil sudah menemui semula 28 karya termasuk karya paling terkenal pernah dihasilkan Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani berjudul 'Tafsir Al-Jailani' yang menjadi rujukan ramai ulama terkenal di seluruh dunia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!