Periuk, kuali jadi hantaran perkahwinan
KUALA KRAI - Pasangan pengantin baharu ini mencipta kelainan apabila memilih set barangan elektrik sebagai hantaran perkahwinan pada majlis persandingan mereka yang berlangsung pada 14 September lalu.
Menurut Syarfa Abdullah, 21, dari Guchil 4, Kuala Krai, dia dan suami, Mohammad Syazwan Suhaimi, 21, hanya berhabis sekitar RM2,000 sahaja untuk 16 barangan tersebut.
Katanya, idea ini sudah dirancang sejak awal lagi ketika mereka mengikat tali pertunangan pada Mac lalu.
"Kami sepakat mahu beli barangan elektrik sebagai hantaran perkahwinan kerana tidak mahu membazir dengan membeli barang-barang bukan keperluan utama.
"Dengan cara ini kami tidak perlu lagi bersusah payah cari barang-barang keperluan rumah untuk kegunaan harian cuma ia mungkin lari dari kebiasaan.
"Malah pada hari persandingan kami, ada rakan yang tidak tahu ia hantaran dan menganggap barangan itu sebagai cabutan bertuah. Saya dan suami tergelak besar lantas memberitahu itu hantaran kami," katanya.
Pada hari bahagia mereka, Syarfa menghadiahkan sembilan barangan yang terdiri daripada lesung, pengukus, set sudu, vakum, periuk nasi, set barangan plastik Tupperware, oven, frying pan dan kuali.
Manakala suaminya yang berasal dari Kampung Seri Panji, Kuala Krai, membalas dengan tujuh hantaran berupa pembakar roti, periuk pelbagai saiz, pengisar, pengadun kek, penapis air, pembancuh kopi dan seterika.
Tambah Syarfa, dia kini menetap di Sepang, Selangor, dan mula berkenalan dengan suami sejak lapan tahun lalu.
"Alhamdulillah majlis yang berlangsung pada 14 September itu berjalan dengan lancar. Malah rakan-rakan yang bakal berkahwin juga turut tertarik untuk menyediakan hantaran perkahwinan seperti ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!