Pengusaha hotel mahu pelepasan cukai
GEORGETOWN - Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang berharap kerajaan akan melaksanakan beberapa pelepasan cukai bagi mengurangkan beban pengusaha hotel yang kini menanggung pelbagai bil termasuk bil utiliti yang tinggi.
Presidennya, Khoo Boo Lim berkata, tarif komersial bagi bil utiliti terkini dilihat amat tinggi dan ia membebankan pengusaha hotel.
Menurutnya, beliau juga berharap agar kerajaan membatalkan cukai pelancongan berikutan bayaran levi untuk perjalanan keluar negara turut dikenakan.
"Dalam Bajet 2020 yang bakal dibentangkan Oktober nanti, saya mengharapkan agar beberapa cukai yang dikenakan dimansuhkan. Antaranya adalah cukai pelancongan kerana bayaran levi untuk perjalanan keluar negara sudah dikenakan.
"Ia amat membebankan berikutan pengusaha hotel perlu membayar cukai-cukai lain termasuk menanggung bil utiliti yang tinggi.
"Selain itu, saya berharap agar kerajaan merangka cadangan untuk mengawal selia dan mengenakan caj terhadap perkhidmatan penyewaan rumah percutian dalam talian, Airbnb.
"Bukan sahaja pada Airbnb tetapi pengendali penginapan yang melakukan perkara yang menyalahi undang-undang," katanya.
Presiden Persatuan Tarikan Pelancong (ATAP) Pulau Pinang, Ch'ng Huck Theng berkata, pihaknya berharap agar kerajaan memberi cukai insentif kepada syarikat swasta dalam pembelian hasil seni warisan budaya negara ini.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Seni Pulau Pinang berkata, dengan pemberian cukai itu ia dapat membantu mempromosi seni budaya Malaysia kepada pelancong luar.
"Promosi terhadap seni budaya kita tidak banyak dilakukan.
"Oleh itu, saya berharap agar kerajaan serius untuk mempromosikan seni budaya negara ini yang unik. Ia tidak ada di negara lain, hanya di Malaysia.
"Dengan pemberian cukai insentif kepada syarikat swasta atau produk pelancongan, ia dapat membantu industri seni budaya untuk dikenali sekali gus mempromosikannya kepada pelancong luar dan secara tidak langsung dapat menyokong seni warisan," katanya.
Majukan industri inap desa
GEORGETOWN - Pengusaha rumah inap desa di utara tanah air menyuarakan harapan agar kerajaan menambah baik insentif berbentuk pembangunan infrastruktur dalam usaha membantu memajukan industri tersebut di Malaysia.
Salah seorang pengusaha rumah inap desa di Balik Pulau, Hasnah Harun, 52, berkata, insentif tersebut perlu dalam menyediakan prasarana yang lebih baik dan selesa untuk pengusaha inap desa melaksanakan pelbagai aktiviti bagi menarik kedatangan pengunjung atau pelancong.
"Insentif sebegini dilihat bukan sahaja dapat memberi keselesaan kepada pengunjung namun secara tidak langsung, ia dapat membantu pembangunan prasarana atau infrastruktur yang lebih baik dan terancang di kawasan inap desa.
"Saya berharap pembentangan bajet di bawah kerajaan baharu nanti memberi penekanan ke atas pengusaha inap desa seperti saya bagi membantu memperkenalkan usaha kami dalam industri pelancongan secara lebih meluas.
Dengan adanya insentif, kita boleh membina dewan orang ramai. Dari situ, pengusaha inap desa dapat melakukan pelbagai aktiviti bagi menarik lebih ramai pelancong," katanya.
Selain itu Hasnah turut berharap agar kerajaan menyemak semula dan memperhalusi syarat pinjaman dalam permohonan bagi Tabung Infra Pelancongan dan Tabung Pelancongan.
"Syarat yang dikenakan terlalu ketat dan ramai rakan-rakan saya yang mengusahakan perusahaan pelancongan gagal untuk mendapatkan pinjaman.
"Oleh itu saya berharap kerajaan berusaha memperhalusi dan menyemak semula syarat pinjaman bagi memudahkan pengusaha khususnya dalam industri pelancongan mendapat dana," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!