Badul mahu inkues siasat punca kematian Mejar Zahir
SHAH ALAM - Pelakon serta pelawak veteran, AR badul mahu inkues diadakan bagi mencari punca kematian anaknya, Mejar Mohd Zahir Armaya dalam insiden tertembak ketika gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah, awal bulan ini.
Badul atau nama penuhnya, Armaya Aman Ramlie, 70, berkata, semua ahli keluarganya tidak berpuas hati dengan kronologi sebenar kematian anaknya itu.
"Kalau boleh, (kami) nak macam Adib (prosiding inkues berhubung kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya tahun lepas).
"Saya rasa kecewa dan hampa dengan kenyataan tentera (Tentera Darat Malaysia). Kami (keluarga) tidak pernah diberitahu secara khusus apa kronologi sebenarnya kematian anak saya. Kami terkilan sebab tidak diberi penerangan lanjut.
"Punca kematian tidak diberitahu cuma dikatakan meninggal dunia sebab tertembak. Tertembak di mana, kita tak tahu...tiada khususnya. Bedah siasat ada dibuat tapi tidak diterangkan. Katanya mati di hospital. Kalau mati di situ (lokasi kejadian) pun kita tak tahu,” katanya selepas majlis tahlil untuk Mohd Zahi malam tadi.
Jelas badul, inkues berkenaan juga dilihat boleh menjawab segala persoalan berkaitan punca sebenar kematian anaknya itu yang sering ditimbulkan dalam kalangan ahli keluarga dan orang awam yang turut ingin tahu mengenai insiden berkenaan.
"Saya minta penerangan (mengenai kronologi kematian) yang jelas. Bagaimana dia kena tembak? Adakah sebab peluru tersasar? Sebab anak saya berdiri tak betul ke? Atau penembak tak konsisten tertembak? Kronologi itu yang kita mahu tahu,” katanya.
Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini mengesahkan insiden kematian pegawai komando itu sebagai satu kemalangan dalam latihan dan keputusan berkenaan dibuat oleh Lembaga Siasatan TDM yang mendapati insiden itu diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil.
Mohd Zahir, 36, ialah pegawai komando dari 11 Grup Gerak Khas (11 GGK) dan dilapor meninggal dunia pada jam 9.20 pagi di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu selepas dimasukkan ke Unit Kecemasan pada hari kejadian, 4 September lalu.
Allahyarham yang bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka itu ialah seorang bapa kepada lima anak berusia 5 bulan hingga 9 tahun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!