Adik Nur Adani kerap menggeletar

Nur Adani ketika ditemui di Taman Pasir Putih semalam.
Nur Adani ketika ditemui di Taman Pasir Putih semalam.
A
A
A

PASIR GUDANG - Salah seorang mangsa pencemaran Sungai Kim Kim mendakwa kerap menggeletar selepas mengalami gangguan kesihatan kali ketiga, 28 Ogos lalu.

Murid tahun lima di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, Nur Adani Mohd Nasir dikatakan tidak dapat mengawal dirinya ketika menggeletar yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Malah anak kedua daripada lima beradik itu akui takut jika menerima nasib serupa seperti pesakit Myokimia dari SK Taman Bukit Dahlia, Irfan Wafiy Idham Wazir, 12.

Bapanya, Mohd Nasir Mohd Noh, 42 berkata, sehingga kini mereka sekeluarga masih menantikan jawapan daripada doktor yang merawat anaknya itu.

"Saya tak kisah doktor nak bagi rawatan psikiatri ke apa ke tapi yang saya nak tahu sekarang macam mana anak saya nak kawal menggeletar dia itu?

"Sampaikan dia tengah tidur pun boleh menggeletar. Sarafnya bagaimana? Ini bukan trauma lagi dah kalau dalam tidur pun boleh menggeletar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Taman Pasir Putih semalam.

Katanya, anaknya itu ada mengadu rasa sakit pada bahagian sendi tangan dan kaki terutama ketika menaiki tangga.

"Pertama kali kami perasan dia menggeletar lepas serangan 28 Ogos dan sejak itu semakin ketara tangan dia menggeletar, pernah sekali tengah pegang cawan sampai tumpah-tumpah air.

Artikel Berkaitan:

"Dia pernah mengadu sakit kaki bila nak naik tangga di sekolah. Kata dia sakit itu macam dicucuk-cucuk seluruh kaki. Sekarang dia dah tak buat apa-apa aktiviti, dah tak aktif dan jadi penakut," katanya.

Katanya, sejak dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail pada 7 Mac lalu akibat pencemaran Sungai Kim Kim, kesihatan anaknya terus terganggu hingga kerap ponteng sekolah.

Nur Adani sempat membelek buku sebelum ke sekolah agama petang semalam.
Nur Adani sempat membelek buku sebelum ke sekolah agama petang semalam.

"Sebagai ibu bapa apa yang membimbangkan kami ialah dari Mac sampai sekarang, perkara menjadi teruk jika tidak ditangani. Macam sekarang anak dah mula menggeletar dan semakin kerap pula kebelakangan ini.

"Malah dia kerap sangat demam. Sampai 10 hari tak ke sekolah dalam sebulan. Demam sampai lima atau enam hari baik dua tiga hari, demam lagi. Pembelajaran dia pun semakin menurun," katanya.

Dia turut akui kecewa dengan cara kerajaan menangani isu pencemaran di Pasir Gudang hingga terus-terusan mengganggu kesihatan penduduk di situ.

"Saya mengharapkan jaminan rawatan sebab kita tak tahu pun kesan kesihatan untuk tempoh jangka masa panjang macam mana. Saya kecewa dengan tindakan, sikap dan komitmen kerajaan dalam menangani isu ini," katanya.

Semalam, Nur Adani sekali lagi dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang selepas pengsan kira-kira jam 11.30 pagi di sekolah.

"Saya dalam kelas tengah buat karangan tiba-tiba ada bau busuk sangat macam bau tahi dan lepas itu hujan lebat. Tak lama lepas itu rasa sejuk satu badan macam nak demam dan terus menggigil.

"Kawan sebelah pun sama juga. Kawan sekelas maklumkan pada cikgu dan masa tengah berjalan ke pejabat guru saya pengsan. Saya sedar-sedar dah ada dalam ambulans," kata Nur Adani.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor, Mohd Famey Yusoff ketika ditemui pada program Sekolah Angkat Industri Daerah Pasir Gudang pagi tadi mengesahkan kejadian tersebut dan menyatakan kedua-dua murid tersebut merupakan kes yang berulang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!