Inkues Adib: Air mata peguam, tunang mengalir
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Peguam keluarga, Syazlin Mansor menyambut keputusan inkuiri sebentar tadi dengan air mata.
Dia kelihatan tidak mampu menahan rasa sebak cuba menyeka air mata daripada terus terus mengalir.
Selepas prosiding selesai, beberapa peguam keluarga turut menenangkannya.
Ketika ditemui, Syazlin berkata, pasukan peguam keluarga berpuas hati terhadap keputusan itu.
"Terima kasih kepada Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom Professor Dr Shahrom Abd Wahid (saksi ke-29) dan Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Dr Amir Radzi Ab Ghani (saksi ke-30) kerana sanggup menyumbang kepakaran secara pro bono dan memberi keterangan benar di mahkamah.
"Terima kasih kerana mendoakan keadilan dapat ditegakkan," katanya.
Selain itu, tunang Allahyarham Muhammad Adib, Nurul Najihah Mohd Radzi juga turut menangis.
Nurul Najihah yang memakai baju kurung kelabu dilihat diiringi oleh seorang wanita apabila keluar daripada mahkamah.
Mahkamah Koroner, Rofiah Mohamad membuat keputusannya sebentar tadi selepas prosiding perbicaraan memakan masa 41 hari.
Dalam keputusannya, Rofiah berkata, kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan arwah telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).
"Saya merumuskan bahawa kecederaan blunt chest trauma yang dialami Muhammad Adib adalah bukan perbuatan diri," katanya.
Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan JPBM Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.
ARTIKEL BERKAITAN:
Keputusan inkues kematian Muhammad Adib
Kecederaan Adib tidak seperti dipukul
Pakar yakin punca kecederaan akibat tendangan
Inkues menyiasat kematian Adib itu berlangsung selama 41 hari pendengaran dan menyaksikan 30 saksi termasuk saksi pakar memberi keterangan.
Adib, anggota Jabatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah semasa rusuhan di Seafield pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, dia menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Inkues itu diadakan untuk menentukan punca kematiannya susulan wujud dua versi bercanggah.
Satu versi mendakwa Allahyarham dilanggar oleh kenderaan, manakala satu lagi versi mengatakan dia dipukul oleh perusuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!