Islam tidak sekat hiburan, asalkan tidak melalaikan jiwa

AKTIVITI memanah juga merupakan antara satu bentuk hiburan dalam Islam.
AKTIVITI memanah juga merupakan antara satu bentuk hiburan dalam Islam.
A
A
A

ISLAM ialah agama yang sesuai dengan fitrah. Fitrah manusia perlukan hiburan dalam kehidupan. Hiburan ialah sesuatu yang boleh menggembirakan hati, merehatkan minda, menyenangkan jiwa dan menyedapkan pendengaran. Pendek kata, apa-apa perkara dan tindakan yang boleh menimbulkan perasaan suka, gembira, seronok dan tenang, ia merupakan suatu hiburan.

Islam tidak menyekat umatnya mencari hiburan selagi mana tidak keluar daripada batas syarak dan tidak lalai daripada melaksanakan perintah agama. Kesederhanaan sangat penting dalam usaha mencari hiburan.

ALLAH SWT menjadikan kehidupan dunia penuh dengan keseronokan, permainan dan kelalaian. Semua itu adalah untuk menguji siapakah dalam kalangan hamba-NYA yang paling baik amalan dan paling bersyukur kepada-NYA.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, ada menceritakan tentang kisah Ummu Mukminin, Aisyah binti Abu Bakar berhibur dengan mendengar lagu yang dinyanyikan oleh biduanita daripada wanita Ansar. Rasulullah SAW membiarkan Aisyah RA mendengar lagu tersebut hinggalah Aisyah RA sendiri merasa cukup dan berlalu dari situ.

Rasulullah SAW juga berhibur melalui sukan lumba lari bersama isterinya. Namun begitu Rasulullah SAW mengakui solat merupakan kerehatan dan hiburan sebenar baginda. Ini menunjukkan baginda meraikan hiburan yang berbentuk sederhana walaupun solat merupakan keutamaan dan hiburan paling menyeronokkan baginda.

Saidina Ali bin Abi Talib RA juga pernah menyarankan agar hiburkan hati dan mencari hikmah-hikmah yang menarik kerana hati mudah berasa bosan seperti badan yang keletihan. Oleh sebab itu, kita hendaklah memilih jenis-jenis hiburan yang sesuai dan tidak melalaikan jiwa daripada mengingati ALLAH SWT.

Hiburan sesuai

Pilihlah hiburan yang boleh meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan tubuh badan seperti bersukan, bergurau senda yang sederhana, mendengar lagu-lagu yang menaikkan semangat cintakan agama, bangsa dan negara, melihat filem dan drama yang memberi pengajaran dan tauladan atau menyanyi lagu-lagu yang meningkatkan iman kepada ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

HIBURAN juga boleh diperoleh melalui aktiviti-aktiviti rekreasi dan lasak seperti mendaki gunung.
HIBURAN juga boleh diperoleh melalui aktiviti-aktiviti rekreasi dan lasak seperti mendaki gunung.

Hiburan juga boleh diperoleh melalui aktiviti-aktiviti rekreasi dan lasak seperti berbasikal, berkuda, memanah, bermotosikal, mendaki gunung dan lain-lain.

Melancong dan bercuti menikmati permandangan yang indah dan menarik juga antara bentuk hiburan yang memberi ketenangan kepada jiwa.

Aktiviti hiburan seumpama itu diterima dalam Islam sebagai amalan yang harus dan digalakkan. Bagaimanapun, aspek kesederhanaan sangat ditekankan dalam Islam bagi menjamin kesejahteraan hidup.

Dalam kehidupan seharian, kita terdedah dengan berbagai-bagai jenis hiburan yang melalaikan. Sekiranya tidak dikawal dengan baik, kita akan hanyut dan leka sehingga mengabaikan tugas dan tanggungjawab.

Gelombang Revolusi Industri 4.0 menyajikan hiburan yang sangat banyak dan melekakan. Aktiviti hiburan hari ini bukan lagi bersifat fizikal seperti dulu. Banyak hiburan boleh dicapai hanya melalui hujung jari sahaja. Ini juga cabaran yang mendepani generasi muda pada hari ini.

Penggunaan gajet seperti telefon pintar, laptop dan komputer sebagai alat yang menyalurkan hiburan berterusan sepanjang waktu. Tanpa disedari, kita telah menghabiskan begitu banyak masa dan waktu melayani kawan-kawan melalui media sosial seperti Facebook, WeChat, Telegram, Instagram, WhatApps dan lain-lain. Termasuk juga melayari YouTube, permainan dan berbagai-bagai hiburan lain.

Kajian menunjukkan masa seorang wanita menggunakan telefon pintar lebih kurang 6 jam 57 minit dalam masa sehari semalam. Situasi itu tidak sihat kepada minda dan hubungan sosial bersama keluarga dan anak-anak.

Kajian juga menunjukkan tempoh yang selamat bagi penggunaan telefon pintar adalah bawah 4 jam sehari semalam. Begitu juga pendedahan gajet seperti telefon pintar yang terlalu awal kepada anak-anak adalah tidak sihat dan berbahaya kepada minda dan emosi mereka. Kesannya akan berpanjangan sehingga mereka dewasa dan menjadi antara faktor hilang fokus dalam kehidupan dan pekerjaan.

No Image Caption

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 dan 13 Mei 1981 telah meletakkan beberapa garis panduan bagi mereka yang suka kepada hiburan dalam bentuk nyanyian seperti yang berikut:

1. Nyanyian yang seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadab dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;

2. Jika nyanyian seni katanya tidak baik, lucah, biadab, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;

3. Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram;

4. Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan

5. Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.

Kesimpulannya, hiburan adalah perkara yang dibenarkan dalam Islam selagi mana ia tidak melanggar batas syarak, dilakukan secara sederhana dan tidak melalaikan daripada tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!