ATM hormati keputusan AR Badul mohon inkues kematian Mejar Zahir

Zulkifli(kiri) memakaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada Mejar Muhammad Shaeed Adam (empat dari kanan) pada Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-86 di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia hari ini.
Zulkifli(kiri) memakaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada Mejar Muhammad Shaeed Adam (empat dari kanan) pada Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-86 di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia hari ini.
A
A
A

LUMUT - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghormati keputusan pelakon serta pelawak veteran, AR Badul yang mahu inkues diadakan bagi mencari punca kematian anaknya, Mejar Mohd Zahir Armaya.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, permohonan itu merupakan hak peribadi Badul atau nama penuhnya, Armaya Aman Ramlie.

“Kita kena hormati apa sahaja yang beliau kehendaki, kita menunggu proses seterusnya,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan acara Perbarisan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-86 di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Bertemakan ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’, perbarisan itu disertai 54 pegawai dan 868 anggota lain-lain pangkat serta melibatkan 12 kontinjen termasuk tiga kontinjen wanita daripada setiap perkhidmatan ATM.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Menjelas lanjut, Zulkifli berkata, selepas kesemua urusan dan keputusan muktamad diperoleh, pihaknya akan memanggil keluarga Allahyarham Mohd Zahir untuk diberi penerangan terperinci.

“Kita kena tunggu apabila semua dah selesai. Kita bukan saja tidak maklum malah sentiasa berhubung dan lawatan dibuat hampir setiap hari kepada keluarga arwah,” katanya yang yakin TDM akan mengambil tindakan sewajarnya.

Semalam, Badul dan ahli keluarganya tidak berpuas hati dengan kronologi sebenar kematian anaknya itu dan mahu inkues dijalankan bagi mencari punca kematian pegawai komando tersebut.

Artikel Berkaitan:

TDM juga telah mengesahkan insiden kematian pegawai komando itu sebagai satu kemalangan dalam latihan dan keputusan berkenaan dibuat oleh Lembaga Siasatan TDM yang mendapati insiden itu diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil.

Terdahulu, Zulkifli dalam ucapannya mahu kesemua anggota ATM sentiasa menjaga nama baik organisasi sebagai institusi terhormat terutama dengan ledakan teknologi komunikasi tanpa sempadan termasuk kemunculan media sosial.

“Saya khuatir, sekiranya tidak dikawal, ia boleh mengakibatkan kritikan, tohmahan dan fitnah yang akan menggugat keyakinan rakyat dan akhirnya melemahkan ATM,” katanya.

Sempena Hari ATM ke-86, satu karnival turut berlangsung selama dua hari mulai esok di Pangkalan TLDM di sini dengan pelbagai acara menarik disediakan antaranya pertunjukan aset ketenteraan manakala masuk adalah percuma. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Badul mahu inkues siasat punca kematian Mejar Zahir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!