Henti polemikkan kenyataan Naib Presiden Bersatu
PETALING JAYA - Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya menggesa semua pihak menghentikan segera polemik berkaitan ucapan Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, baru-baru ini.
Menurut Abu Bakar, Abdul Rashid hanya menyuarakan pendapatnya berhubung pemberian kontrak secara rundingan terus dan ia tidak bermakna kata-katanya adalah keputusan rasmi parti mahupun kerajaan.
Jelas Abu Bakar, seperti ditegaskannya sebelum ini, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu adalah platform untuk ahli menyuarakan pandangan kepada pemimpin dan sebaliknya.
“Pada saya ia (kenyataan Abdul Rashid) normal cuma Tan Sri orang lama. Orang pentadbiran dan orang politik bila bercakap, ia berbeza. Cara penyampaian pun lain.
“Pada saya, ia normal, ini soal bersuara menyatakan pandangan. Saya boleh suarakan, beliau pun boleh suarakan apa saja tapi pemimpin tertinggi parti yang buat keputusan.
“Tapi kalau kita tidak bersuara, bagaimana kita nak imbangi perkara positif dan negatif dalam parti. Hentikanlah polemik ini, tiada isu kerana beliau hanya lontarkan pandangan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau ditemui ketika melawat ahli parti, Abu Hanipah Yunus, 58, dan Bahari Abdullah, 54, yang terlibat dalam kemalangan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, petang semalam.
Tambah Abu Bakar, beliau bersetuju dengan tindakan ahli menyuarakan segala masalah dalam persidangan tersebut dan bukan meluahkannya secara terbuka dalam media sosial.
“Kalau sayangkan parti, kita bercakap dalam parti, dalam persidangan, dalam perhimpunan, dalam mesyuarat. Apa yang dibangkitkan, kita selesaikan secara dalaman.
“Bagaimana ahli lain nak tahu? Sebab itu kita ada perwakilan, wakil-wakil negeri dan cawangan-cawangan. Maklumat itu akan disampaikan kepada mereka. Ini adalah rangkaian cukup baik,” ujarnya.
Abdul Rashid sebelum ini mencadangkan agar pemberian kontrak diberikan secara rundingan terus demi meraih sokongan penduduk setempat dalam PRU15.
Begitupun, cadangan beliau disanggah ramai pihak termasuk Armada yang dipimpin Syed Saddiq Abdul Rahman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!