MOF sambut baik henti caj transaksi: Guan Eng

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Penarikan balik caj urus niaga yang dikenakan oleh bank komersial dalam beberapa transaksi menunjukkan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) tidak obses mengaut keuntungan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kesediaan ABM menerima baik nasihat Kementerian Kewangan untuk mendengar pandangan orang ramai dan pengguna berkenaan isu itu wajar dipuji.

"Kementerian Kewangan mengalu-alukan penghentian caj urus niaga yang dikenakan oleh bank komersial terhadap transaksi tunai dan cek untuk pembayaran kad kredit dan bayaran balik pinjaman bank melalui kaunter sehingga RM2 dan melalui mesin deposit tunai (CDM) sehingga RM0.50.

"Ini menunjukkan komitmen bank komersial untuk memenuhi keperluan pengguna dengan menggunakan teknologi terkini tanpa membawa bebanan kewangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, caj urus niaga tersebut mula dikenakan pada Disember 2017 bawah pentadbiran kerajaan terdahulu bagi mempromosikan peralihan kepada e-pembayaran.

"Namun caj tersebut membebankan golongan berpendapatan rendah dan mereka yang kekurangan akses kepada internet untuk menjalankan perbankan atas talian dan secara mudah alih," katanya.

Semalam sebanyak 26 bank di bawah Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) bersetuju untuk menghentikan caj transaksi yang dikenakan bagi penggunaan cek dan bayaran tunai untuk pembayaran kad kredit serta pembiayaan melalui kaunter dan mesin deposit tunai.

ABM dalam kenyataannya berkata, caj berkenaan juga tidak akan dikenakan ke atas pelanggan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!