Mereka silap orang, Pas-UMNO bukan LGBT: Hadi
MARANG - Presiden Pas, Abdul Hadi menyifatkan tindakan sebuah akhbar berbahasa Cina memaparkan gambar perkahwinannya dengan Presiden UMNO yang 'diedit' adalah sebagai tindakan terdesak dan ketandusan idea.
"Sebenarnya mereka silap orang, jika hendak berbuat demikian sekalipun, biarlah kena pada individu. Gambar sebegitu sesuai dengan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
"Saya tidak menjadi ahli dan tidak berkait dengan LGBT. Lagi pun LGBT memang tidak sesuai dengan parti kita dan UMNO pun. Kata orang kalau mahu kahwin biarlah kena kuku," katanya.
Sebelum ini, akhbar berkenaan menyiarkan sekeping artikel dengan foto yang disunting semula.
Gambar itu memaparkan Hadi memakai gaun pengantin wanita sambil berkopiah dengan diapit Presiden UMNO Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi yang lengkap bersuit seolah-olah seorang pengantin lelaki.
Terdahulu, UMNO turut menyelar tindakan tersebut dan menyifatkannya perbuatan biadab.
Ketua Penerangannya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kebebasan bersuara, menulis atau menyuarakan pandangan bukan bermakna kita boleh berkata atau melakukan apa sahaja hingga melampaui batas, apalagi melanggar batas etika kewartawanan.
ARTIKEL BERKAITAN Gambar 'kahwin' Zahid-Hadi perbuatan biadab, melampau
KDN digesa siasat gambar 'kahwin' Zahid-Hadi di akhbar Cina
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!